Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

231) PERSAINGAN PELABURAN DENGAN NEGERI ATAU NEGARA LAIN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Selangor untuk bersaing dengan negeri lain di Malaysia yang menawarkan pakej pelaburan yang lebih kompetitif?

    Dalam usaha menjadikan Negeri Selangor lebih kompetitif dalam usaha menarik pelaburan, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi seperti berikut;-

    • Penjenamaan Negeri Selangor Sebagai Destinasi Pelaburan Di Asia Tenggara.

    Dalam usaha mengekalkan posisi Negeri Selangor sebagai destinasi utama pelaburan negara, program – program penggalakkan pelaburan akan terus dilaksanakan.

    Program – program seperti misi lawatan pengalakkan pelaburan ke luar negara seperti Negara Eropah, penyertaan di forum dan persidangan antarabangsa seperti World Expo 2025, Osaka yang dijangka akan menarik sebanyak 20 juta pelawat dari lebih 100 negara dan lawatan ke pameran-pameran yang berkaitan bagi bertemu dengan para pelabur yang berpotensi, akan terus dilaksanakan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga meneruskan usaha-usaha bagi menyediakan peluang pasaran yang meluas bagi para pelabur melalui program yang diketengahkan seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS) di mana program-program ini menjadi platform bagi para pelabur menjalani aktiviti business matching serta kolaborasi bersama dengan syarikat tempatan atau syarikat antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

    Melalui program-program ini, Kerajaan Negeri juga berpeluang untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Gerbang Pasaran Asia Tenggara (Selangor, The Gateway to ASEAN) dan membuka ruang kolaborasi diantara Kerajaan (Government), pengusaha (business) dan penduduk (people).

    • Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program.

    Selangor Soft Landing Programme adalah program penyediaan Ruang Kerja Bersama (Coworking Area) / Ruang Pejabat (Coworking Office) dan khidmat nasihat sokongan bagi bakal pelabur samada dari dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melaksanakan tinjauan awal perancangan pelaburan di Negeri Selangor.

    Insentif ini disediakan untuk menyediakan platform yang holistik dan memberikan sokongan penuh bagi pelabur yang berpotensi agar dapat menerokai ekosistem pelaburan di Selangor. Selain itu, melalui insentif ini juga dapat memupuk penglibatan komuniti industri sedia ada dalam proses menarik pelaburan baru ke kawasan dan kumpulan sektor yang dikenalpasti.

    Kemudahan yang disediakan untuk para pelabur ini secara langsung dapat membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan.

    Pelaksanaan Selangor Soft Landing Programme ini dapat merancakkan aktiviti pelaburan di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Melalui insentif ini, ianya berfungsi sebagai pemudahcara kepada para pelabur yang berpotensi untuk melabur di Selangor di samping sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan, Negeri dan rakan-rakan strategik yang terlibat.

    Selain itu, insentif ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos awalan kepada pelabur baru yang berpotensi, di mana lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis dan kajian yang berkaitan semasa menerokai ekosistem pelaburan di Selangor.

    Dengan adanya insentif ini, Kerajaan Negeri berpeluang untuk meningkatkan potensi pelaburan dan seterusnya menggalakkan peluang-peluang pelaburan dari dalam dan luar negara dengan memakmurkan kerjasama strategik dari pelbagai pihak yang terlibat.

    Sehingga bulan Disember 2024, lima (5) syarikat dari luar negara iaitu Australia, Belanda dan China telah menyertai program ini dengan cadangan pelaburan berjumlah RM 304.8 juta.

    • Selangor Lab Partnership Program Bagi Pembangunan Sektor Sains Hayat Di Selangor.

    Selangor Lab Partnership Program adalah salah satu daripada pelan tindakan di dalam ’Selangor Biotechnology Action Plan (SBAP) 2021-2030’ bagi ’Action Plan-10’ iaitu ’Utilise and Link Partner Labs at IHLs (Institute Higher Learnings) and RIs (Research Institutes). Inisiatif ini bertujuan membantu pemain industri untuk memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik, serta menggalakkan kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan tempatan dan pemain industri. Melalui inisiatif ini, ianya dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi merapatkan hubungan dan kerjasama antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Negeri Selangor.

    Selangor Lab Partnership Program ini telah mula dilaksanakan pada 16 Oktober 2024 dengan sasaran penyertaan syarikat / projek sebanyak 10 buah syarikat / projek dan 6 Institusi Pengajian Tinggi / Institusi Penyelidikan. Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5,000 untuk setiap penyertaan syarikat / projek di bawah program ini bagi menampung kos kajian yang dilakukan dengan tujuan pembangunan dan meningkatkan daya saing.

    • Penyediaan Kawasan Perindustrian Yang Kondusif Melalui Pembangunan Kawasan Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (Mip) Di Negeri Selangor.

    Dalam usaha menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif bagi keperluan para pelabur, Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP). Kerajaan Negeri telah menyediakan insentif khusus kepada para pemaju yang berminat untuk membangunkan kawasan industri yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) di Negeri Selangor.

    Sehingga kini sebanyak 7 cadangan projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan sebagai Kawasan Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) oleh Kerajaan Negeri di Negeri Selangor dengan jumlah keluasan 3,621.58 ekar dengan anggaran GDV pembangunan berjumlah RM 19.25 bilion.

    Projek – projek tersebut melibatkan 3 projek di daerah Kuala Langat, 3 projek di Daerah Gombak dan 1 projek di daerah Klang. Daripada projek – projek yang dinyatakan ini, sebanyak 2 projek dalam proses pembangunan, manakala lain – lain projek dalam proses mendapatkan kelulusan pembangunan daripada jabatan – jabatan teknikal yang berkaitan.

    Pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan meneruskan program – program bagi menggalakkan lebih ramai pemaju hartanah membangunkan kawasan perindustrian yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) di seluruh Negeri Selangor untuk memenuhi permintaan dan keperluan para pelabur.

    • Pembangunan Wilayah Ekonomi Baru – Pembangunan Serantau Bersepadu Di Selangor Selatan (Integrated Development Region In South Selangor – IDRISS).

    Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan atau Integrated Development Region in South Selangor – (IDRISS) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha membawa keseimbangan pembangunan ke seluruh pelusuk Negeri Selangor. Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) merupakan cadangan pembangunan hartanah oleh pihak swasta di daerah Sepang dan Kuala Langat.

    Melalui insentif pembangunan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri serta bantuan sokongan daripada agensi – agensi teknikal yang berkaitan, ianya telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemilik – pemilik hartanah yang berskala besar untuk membangunkan hartanah mereka. Sehingga kini sebanyak (9) projek yang aktif dengan anggaran jumlah keluasan pembangunan keseluruhan 17,680.32 ekar dan anggaran Nilai Pertumbuhan Kasar (GDV) pembangunan berjumlah RM 57.68 bilion. Daripada projek – projek ini sebanyak (2) projek dalam proses perlaksanaan dan selebihnya dalam peringkat pra-perlaksanaan projek.

    Kerajaan Negeri yakin, dengan kemudahan insentif yang ditawarkan serta fasilitasi pelaburan yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri, secara lansung akan menarik minat pemilik hartanah yang berskala besar untuk menyertai pembangunan IDRISS disamping dapat membantu mempercepatkan proses pembangunan hartanah mereka.

    • PROGRAM – PROGRAM LIBAT URUS, MENYANTUNI PELABUR & PENYELESAIAN ISU – ISU PELABURAN.

    Dalam usaha menggalakkan penambahan atau pengembangan pelaburan oleh pelabur sedia ada, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa melaksanakan program – program bagi menyantuni pelabur yang telah melabur di Negeri Selangor.

    Program – program libat urus seperti seminar dan bengkel, lawatan kilang dan pertemuan sentiasa diatur dalam usaha menjalinkan hubungan erat dengan pelabur – pelabur sedia ada.

    Selain itu, mesyuarat penyelarasan projek yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti akan terus diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak pelabur. Bagi sepanjang tahun 2024, sebanyak 145 isu telah dibincangkan dalam mesyuarat ini. Hasil kerjasama dan komitmen sepenuhnya daripada jabatan – jabatan teknikal sama ada di peringkat Negeri dan Persekutuan sebanyak 106 isu (73%) telah berjaya diselesaikan. Manakala sebanyak 39 isu masih lagi dalam peringkat proses penyelesaian.

    • Dasar SPEED Selangor

    Kerajaan Negeri Selangor juga mengambil langkah proaktif bagi memudahcara proses perniagaan dengan memperkenalkan dasar Speed Selangor yang akan memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) untuk kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.

  2. Apakah Kerajaan Negeri memastikan pelabur asing yang sedia ada terus komited melabur di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan pelabur dari segi penyediaan perkhidmatan yang berkualiti, bertaraf dunia dan kondusif untuk mereka terus melabur dan kekal beroperasi di Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif dengan mengekalkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi para pelabur dengan melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan infrastruktur dan bakat, penyediaan perkhidmatan yang berkualiti kepada para pelabur serta memperkenalkan dasar-dasar yang memudahcara perniagaan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga meneruskan usaha-usaha bagi menyediakan peluang pasaran yang meluas bagi para pelabur melalui program Selangor International Business Summit di mana program ini menjadi satu platform bagi para pelabur menjalani aktiviti business matching serta kolaborasi bersama dengan syarikat tempatan atau syarikat antarabangsa

  3. Apakah sokongan tambahan diberikan kepada mereka bagi mengekalkan operasi?

    Langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan bagi menyokong para pelabur dalam mengekalkan operasi mereka adalah melalui;-

    • Mesyuarat Penyelarasan Projek (Mesyuarat Mesra Projek).

    Mesyuarat Mesra-Projek berfungsi sebagai platform perbincangan bagi memastikan kemajuan projek pelaburan di Selangor berjalan dengan lancar dan mengikut jangka masa yang munasabah. Mesyuarat ini diadakan setiap bulan secara berkala untuk memantau perkembangan projek-projek pelaburan. Ia melibatkan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan syarikat, di mana sebarang isu atau permasalahan yang timbul akan dibentangkan bagi membolehkan penyelesaian segera diambil. Langkah ini memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Inisiatif ini juga memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa proaktif dalam memudahcara proses pelaburan.

    • Perlantikan Pegawai Pelaburan Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Peranan Pegawai Pelaburan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara pelabur atau pengilang dengan pihak PBT. Tugas pegawai Pelaburan adalah untuk membantu para pengilang bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka di kawasan perindustrian masing-masing.

    Selain itu, Pegawai Pelaburan ini juga berperanan sebagai pemudahcara dimana para pelabur boleh mendapatkan khidmat nasihat bagi memudahkan urusan kelulusan dengan pelbagai jabatan yang berkaitan di dalam sistem pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan. Menerusi langkah ini proses kelulusan setiap permohonan yang dikemukakan oleh para pelabur dapat dipantau dan secara langsung membantu mempercepatkan tempoh kelulusan sesuatu permohonan.

    Pegawai Pelaburan juga turut membantu Kerajaan Negeri bagi mendapatkan maklumbalas secara jelas tentang isu-isu atau permasalahan yang dihadapi oleh para pelabur di Negeri Selangor. Input-input ini penting dalam membantu Kerajaan Negeri dalam merangka perlaksanaan program pembangunan perindustrian yang menepati kehendak para pelabur sebagai objektif utama menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang ideal dan terbaik. Ini dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membawa pelaburan dan pembangunan ke seluruh kawasan atau daerah di Negeri Selangor.

    • Industrial Park Management Committee (IPMC)

    Penubuhan IPMC merupakan satu medium perantara antara pihak industri dengan pihak jabatan kerajaan yang berkaitan untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah-masalah industri yang dihadapi dalam sesuatu kawasan tersebut.

    Medium ini juga memberi peluang untuk menjalin hubungan baik, networking dan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat sama ada pihak swasta atau pihak jabatan kerajaan dalam menangani isu-isu perindustrian. (Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-jabatan Teknikal, Polis dan lain-lain agensi yang berkaitan).

    Selain itu, penubuhan IPMC ini juga menyumbang kepada pengurusan dan penyelenggaraan kawasan industri yang lebih efektif dan efisien demi menyediakan kawasan industri yang selesa kepada para pelabur.

    Mesyuarat IPMC diadakan sebanyak 3 kali setahun bagi membincangkan isu-isu industri di kawasan operasi masing-masing.

    •  Pengeluaran Surat Tiada Halangan Bagi Penempatan Projek Perkilangan di Negeri Selangor dan Surat Sokongan bagi Pindahmilik Hartanah kepada Warga Asing yang ingin membeli tanah industri bagi pelabur yang tidak terlibat dalam sektor perkilangan di Negeri Selangor.

    Bagi merealisasikan projek pelaburan di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor menyokong para pelabur dalam mengisukan surat NOL atau Letter of Consent bagi para pelabur meneruskan projek pelaburan di Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor akan terus membuka pintu kepada para pelabur yang memerlukan perkhidmatan fasilitasi dan sokongan bagi menjalani operasi mereka di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.