Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

3) PERPADUAN RAKYAT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perpaduan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah peranan dan usaha yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan perpaduan rakyat?

    Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah sebagai penyelaras dan pelaksana serta Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor sebagai penasihat dan pemantau telah melaksanakan Program Rumpun Selangor D’ Desa di lima (5) daerah iaitu Kuala Selangor, Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Hulu Selangor. Program ini adalah program yang telah dijenamakan semula daripada Program Kita Rewang Sekampung. Program ini merupakan program perpaduan yang berkonsepkan mini karnival dan bersifat pelbagai agensi dan sektoral untuk memberi impak yang tinggi kepada masyarakat yang disentuh semasa pelaksanaan program ini. Pengisian utama program ini adalah pertandingan sukan rakyat, kenduri rakyat, pameran oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan juga persembahan kebudayaan pelbagai kaum yang boleh memupuk semangat penyatuan masyarakat setempat di luar bandar.

     

    Penganjuran program ini akan diteruskan pada tahun hadapan di kesemua sembilan (9) daerah dengan skala yang lebih besar serta lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat tidak kira masyarakat bandar mahu pun luar bandar di Negeri Selangor dan akan dijenamakan semula sebagai Karnival Perpaduan Rumpun Selangor yang berpaksikan kepada Gagasan Rumpun Selangor. Gagasan Rumpun Selangor ini diperkenalkan atas hasrat untuk menyemarakkan semangat perpaduan nasional di peringkat Negeri Selangor. Rumpun Selangor adalah terjemahan demografi Negeri Selangor yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada penduduk asal dan Orang Asli, sehinggalah kepada perantau dari seluruh negara yang berkerja, bermastautin dan menjadi rakyat Selangor.

    Ini meletakkan Negeri Selangor cukup unik dengan kepelbagaian demografinya yang menjadikannya sebagai ‘mini Malaysia”. Rumpun Selangor ini adalah cetusan ideologi penyatuan masyarakat Negeri Selangor atas semangat “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Kita boleh datang daripada pelbagai asal usul, agama dan etnik, tetapi apabila kita menjadi sebahagian daripada Rumpun Selangor, kita hidup berasimilasi dan menghormati adab, adat dan budaya tradisi setempat.

     

    Rumpun Selangor turut menjunjung kedaulatan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai payung negeri, yang harus diterjemahkan oleh rakyat melalui kesetiaan dan penghormatan terhadap institusi diraja ini. Sebagai institusi yang berada di atas sistem politik dan kepartian, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga adalah payung perpaduan yang menjadi tonggak kepada penyatuan dan kesatupaduan Rumpun Selangor.

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam menyalurkan sumber kewangan kepada pihak komuniti setempat sebagai subsidi dan sokongan penganjuran program berunsurkan perpaduan rakyat?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor telah memperuntukkan dana untuk Geran Perpaduan “Kita Selangor” kepada Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) iaitu peruntukan khusus yang akan diberikan kepada agensi-agensi, persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program-program dan juga aktiviti kempen berkaitan perpaduan. MPIS telah menerima pelbagai cadangan dan kertas kerja untuk dinilai dan dipertimbangkan untuk penyaluran peruntukan bagi pelaksanaan program-program dan aktiviti yang memupuk keharmonian dan perpaduan di peringkat Negeri Selangor. Sudah semestinya program-program dan aktiviti yang dicadangkan akan melibatkan penyertaan daripada segenap lapisan umur dan bangsa. Bagi tahun 2023, peruntukan sebanyak RM400 ribu telah diagihkan kepada agensi-agensi, persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi penganjuran program-program berunsurkan perpaduan rakyat selangor.

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri mengukur kejayaan Program Duta Perpaduan Selangor dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan bahawa Duta Perpaduan Selangor dapat diperkasa peranannya?

    Seramai 15 orang telah dilantik di bawah program rintis sebagai Duta Perpaduan Selangor pada tahun 2022 yang telah digilap untuk memainkan peranan sebagai penggerak agenda perpaduan dan juga ‘mediator’ perpaduan dalam masyarakat. Sepanjang tempoh menjadi Duta Perpaduan, mereka telah diberikan latihan secara teori dan praktikal untuk mendalami lagi ilmu, dasar dan konsep perpaduan. Duta Perpaduan turut terlibat dengan bengkel pengukuhan, projek lapangan, projek khas dan tugasan khas sebagai salah satu perjalanan sebagai Duta Perpaduan Selangor.

     

    Kerajaan Negeri telah berhasrat supaya inisiatif ini diperluaskan pada tahun 2023 dengan melantik Duta Perpaduan Selangor daripada setiap DUN. Walau bagaimanapun, hasrat ini belum dilaksanakan berikutan terdapat kekangan masa dan peralihan YB EXCO Perpaduan Negeri Selangor.

     

    Sehubungan ini, Program Duta Perpaduan Selangor akan diselaraskan semula pada tahun 2024 dan Kerajaan Negeri akan membuat penilaian keberkesanan pelaksanaannya seterusnya memperkasakan peranan Duta Perpaduan Selangor untuk memastikan advokasi perpaduan dapat dijalankan secara lebih meluas dan terus di peringkat akar umbi.

Lampiran

Tiada Lampiran.