Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
106) PEROBOHAN SETINGGAN DAN KEDIAMAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tatacara dan garis panduan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan perobohan setinggan atau kediaman di atas tanah kerajaan termasuk rumah ibadah?
Seperti semua Ahli Yang Berhormat sedia maklum, terdapat beberapa tatacara dan garis panduan yang digunakan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tindakan perobohan setinggan atau kediaman di atas tanah kerajaan termasuk rumah ibadah. Antara kaedah atau peruntukan perundangan yang digunapakai dalam melaksanakan tindakan perobohan setinggan atau kediaman dan juga rumah ibadah di atas tanah kerajaan adalah melalui Seksyen 426A (1)(c) KTN yang mana menyatakan bahawa mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh PBN boleh menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana struktur yang didirikan di atas tanah kerajaan. Perkara ini adalah selaras dengan kesalahan yang dinyatakan di dalam Seksyen 425 KTN.
Walaubagaimanapun, pihak kerajaan negeri akan terlebih dahulu mengenalpasti kawasan-kawasan operasi terutamanya kawasan yang melibatkan rumah kediaman dan rumah ibadah. Seperti lazimnya, PBN melalui agensi-agensi yang berkaitan akan melakukan segala semakan, bancian, sesi libat urus dan lain-lain perkara yang bersesuaian bersama penduduk yang dikenalpasti sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Antara tatacara yang dilakukan oleh PBN dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan, penduduk akan diberikan notis pemakluman awal terlebih dahulu bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di dalam kawasan operasi yang dikenal pasti. Rujukan penuh berkenaan dengan tatacara pelaksanaan tindakan penguatkuasaan boleh dirujuk melalui Arahan Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 2/2024 iaitu Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Tindakan Penguatkuasaan Bagi Pencerobohan Tanah Kerajaan, Tanah Rizab Dan Tanah Perlombongan Di Bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara [Akta 828].