Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

28) PERNIAGAAN RUMAH URUT DAN PUSAT PELACURAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kini terdapat banyak perniagaan rumah urut dan pusat pelacuran bagai cendawan tumbuh selepas hujan di Negeri Selangor. Apakah tindakan yang diambil dari Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta Pihak Berwajib dalam menangani permasalahan ini?

    Bagi menangani masalah perniagaan rumah urut dan pusat pelacuran di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah dengan mengarahkan pembekuan pengeluaran lesen bagi premis rumah urut dan hanya membenarkan lesen dikeluarkan bagi premis refleksologi yang hanya menjalankan urutan pada kaki. Pembekuan lesen rumah urut telah dilaksanakan sejak tahun 2008 dan keputusan pembekuan tersebut masih kekal sehingga kini.

  2. Apakah bentuk pemantauan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan sila senaraikan perniagaan tersebut yang terdapat di dalam daerah Klang?

    Kerajaan Negeri kerap memantau tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ke atas premis-premis rumah urut atau aduan berhubung kewujudan rumah pelacuran yang terdapat di Negeri Selangor. Terdapat penguatkuasaan secara bersepadu antara Pihak Berkuasa Tempatan bersama agensi-agensi luar seperti PDRM, AADK, serta JAIS merupakan salah satu cara yang paling berkesan di dalam memantau aktiviti tersebut.

  3. Adakah syarat-syarat khas dari Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan serta lesen bagi membolehkan mereka berniaga?

    Pelesenan bagi aktiviti rumah urut terutamanya yang menjalankan perkhidmatan urutan badan masih lagi dibekukan oleh Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, premis rumah urut yang memberikan perkhidmatan refleksologi atau urutan kaki adalah dibenarkan. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan bagi rumah pelacuran.

Lampiran

Tiada Lampiran.