Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

119) PERNIAGAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan untuk membantu PKS yang terjejas akibat ketidakstabilan ekonomi global?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah mengambil inisiatif dalam usaha membantu PKS yang terjejas akibat ketidakstabilan ekonomi global dengan melaksanakan beberapa program antaranya:

    Malaysia Top e-Commerce Merchant Awards
    Malaysia Top e-Commerce Merchant Awards merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada perniagaan dan pedagang dalam talian yang telah berjaya dan berinovasi dalam sektor e-dagang. Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada perniagaan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam memanfaatkan platform e-commerce untuk mengembangkan perniagaan mereka.

    Program ini tidak hanya mengiktiraf perniagaan yang berjaya tetapi juga memberi pendedahan kepada mereka yang mungkin belum begitu dikenali, Dilancarkan pada tahun 2016 dengan penyertaan seramai 60 peserta, pertandingan ini telah berkembang, dengan jumlah peserta yang mengagumkan sebanyak 516 pada tahun 2024, meraih RM109.6 juta dalam GMV. Mekanisme yang diketengahkan dalam program ini adalah jualan dalam talian, penstriman langsung, potensi perniagaan kelas e-dagang, lawatan industri bersama pemain industri untuk mengembangkan jaringan dan memanfaatkan peluang kerjasama dengan perniagaan lain.

    Selangor 1000 Digital

    Program Selangor 1000 Digital bertujuan untuk membantu 500 usahawan dengan teknologi dan penyelesaian e-dagang & digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan dan 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital di Selangor beralih ke arah pendigitalan. Inisiatif ini memberikan latihan, bimbingan, dan sokongan teknikal kepada usahawan tempatan, terutamanya dalam mengembangkan platform e-dagang, pemasaran digital, dan pengurusan perniagaan menggunakan teknologi.

    Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dengan memanfaatkan pelbagai alat digital yang membantu dalam automasi, pengurusan inventori, dan proses jualan dalam talian. Dengan adanya program ini, lebih banyak PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) di Selangor dapat mengakses peluang pasaran yang lebih luas, meningkatkan daya saing, serta memperkukuhkan ekosistem perniagaan digital di negeri ini.

  2. Adakah kerajaan mempertimbangkan insentif cukai tambahan untuk PKS dalam industri yang sedang berkembang?

    Secara dasarnya insentif percukaian dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui potongan terhadap cukai perniagaan yang dikenakan terhadap syarikat tersebut.

    Pihak Kerajaan Persekutan melalui agensi – agensi yang berkaitan ada menyediakan insentif dan bantuan kepada syarikat yang merancang untuk memperkembangkan perniagaan mereka. Sebagai contoh, insentif yang ditawarkan kepada syarikat yang hendak beralih kepada penggunaan teknologi terkini seperti;-

    1. Application for New Automation Capital Allowance (Automation CA)
    2. Incentives for Reinvestment Under the NIMP 2030.
  3. Apakah inisiatif kerajaan dalam menyediakan sokongan kepada PKS yang baru ditubuhkan?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan inisiatif bagi menyediakan sokongan kepada PKS yang baru ditubuhkan ialah melalui Selangor Accelerator Program (SAP) adalah program latihan intensif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec). Program ini bertujuan untuk menyokong dan memperkasa syarikat pemula (startups) tempatan dalam fasa awal perkembangan mereka. SAP menyediakan bimbingan dan sumber yang diperlukan untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat-syarikat ini dan membantu mereka menjadi lebih kompetitif di pasaran.

    • Latihan dan Bengkel

    SAP menawarkan pelbagai sesi latihan dan bengkel intensif dalam pelbagai aspek perniagaan, termasuk pembangunan produk, pemasaran digital, strategi perniagaan, dan pengurusan kewangan. Sesi ini membantu syarikat pemula membangunkan asas yang kukuh untuk berkembang.

    • Mentor dari Industri

    SAP menyediakan akses kepada mentor berpengalaman dari pelbagai industri yang boleh memberi nasihat dan bimbingan langsung kepada peserta. Mentor-mentor ini terdiri daripada usahawan berjaya, pemimpin industri, dan pelabur yang dapat membantu peserta meningkatkan kemahiran serta memahami cabaran dalam dunia perniagaan.

    • Pembiayaan dan Peluang Jaringan

    SAP memberi peluang kepada syarikat pemula untuk berhubung dengan pelabur dan venture capital (VC) yang mungkin berminat untuk melabur dalam startup yang mempunyai potensi tinggi. Pada akhir program, terdapat sesi Demo Day di mana peserta berpeluang memaparkan idea dan model perniagaan mereka di hadapan pelabur berpotensi.

    • Akses kepada Pasaran

    Selain pembiayaan, SAP juga memberikan sokongan untuk membantu syarikat pemula mendapatkan akses kepada pasaran, terutamanya di Selangor dan Malaysia. Ini membantu startup memperkenalkan produk mereka dengan lebih efektif dan mencapai pelanggan sasaran mereka.

    • Sokongan Ekosistem

    SAP memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem sokongan yang membolehkan syarikat pemula bertukar idea, bekerjasama, dan membina rangkaian dengan startup lain, agensi kerajaan, dan syarikat besar.

Lampiran

Tiada Lampiran.