Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
195) PERMOHONAN PENDUDUK UNTUK JALAN BERTAR, BONGGOL, SPEED BREAKER DAN GARISAN KUNING
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah prosedur terkini yang perlu dilakukan oleh penduduk tempatan untuk memohon jalan bertar, bonggol, speed breaker dan garisan kuning di kawasan mereka?
Permohonan jalan bertar, speed breaker dan garisan kuning boleh dikemukakan secara persendirian atau melalui persatuan penduduk / Ahli Majlis / ADUN / Ahli Parlimen secara bersurat/ emel kepada PBT atau melalui sistem aduan SISPAA dengan menyatakan lokasi secara terperinci dan jelas supaya PBT dapat membuat semakan keperluan dan kesesuaian di tapak.
Bagi permohonan bonggol jalan pula, permohonan perlu dikemukakan oleh persatuan penduduk yang ditandatangani oleh Pengerusi Persatuan Penduduk dan disokong oleh Ahli Majlis kawasan serta perlu mendapat sokongan majoriti daripada penduduk iaitu pada kadar melebihi 80 peratus. Permohonan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur PBT atau mana-mana mesyuarat pengurusan tertinggi PBT untuk pertimbangan dan kelulusan.
-
Pihak manakah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sebarang permohonan oleh penduduk?
Pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan permohonan yang berkaitan bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan PBT adalah seperti berikut:
- Permohonan jalan bertar, speed breaker dan garisan kuning boleh dikemukakan oleh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri/ Ahli Majlis, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ketua Komuniti, Pengerusi Persatuan Penduduk atau individu persendirian; dan
- Permohonan bonggol perlu dikemukakan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk.