Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
90) PERMOHONAN PEMBATALAN PEWARTAAN SEBAHAGIAN TANAH RIZAB DAN PENGGANTIAN KAWASAN LAPANG
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini permohonan pembatalan pewartaan sebahagian tanah rizab kawasan lapang seluas 0.46 ekar yang telah diambil bagi tujuan kegunaan awam sebagai tapak tambahan rumah ibadat bukan islam sediada (Kuil Subramaniar) di Jalan PJS 7/13 dan penggantian kawasan lapang di sebahagian tanah kerajaan di PJS 9 bersebelahan Lot 64681 (PN 17395) Mukim Damansara, Daerah Petaling? Dokumen permohonan berkenaan sudahpun dihantar oleh pihak Kuil.
Status Pembatalan Warta
Urusan pembatalan pewartaan perizaban di bawah Seksyen 64 Kanun Tanah Negara bagi tapak Kawasan Lapang di atas Lot 38163 di Jalan PJS 7/13 seluas 8,442 meter persegi (2.086 ekar) telah selesai. Penyiaran warta batal telah dibuat menerusi Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 3202 bertarikh 28 Julai 2019. Tujuan pembatalan warta kawasan lapang adalah selaras dengan kelulusan dasar oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 7/2012 bertarikh 22 Februari 2012 iaitu 0.46 ekar (20,000 kaki persegi) daripada 8,442 meter persegi (2.086 ekar) dijadikan sebagai tapak tambahan untuk rumah ibadat bukan islam sediada (Kuil Subramaniar).
Status Penggantian Kawasan Lapang
Untuk makluman Yang Berhormat Puan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengenal pasti tapak gantian bagi kawasan lapang seluas 0.46 ekar yang diambil menjadi tapak tambahan untuk rumah ibadat bukan islam sediada (Kuil Subramaniar). Tapak gantian tersebut berada di PJS 9. MBSJ akan mengemukakan permohonan perizaban tapak kawasan lapang gantian kepada Pentadbir Tanah. MBSJ disaran untuk mengemukakan semula permohonan perizaban bagi baki tanah kawasan lapang Lot 38163 seluas 1.626 ekar.
Dokumen dari Pihak Kuil Subramaniar
Dimaklumkan juga, pada 29 September 2021, pihak kuil telah mengemukakan pelan pra-hitungan tapak tambahan untuk rumah ibadat bukan islam sediada (Kuil Subramaniar) bagi urusan pewartaan tapak ini. Walau bagaimanapun, didapati luas tanah yang hendak diwartakan dalam pelan pra-hitungan tersebut adalah melebihi keluasan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Pentadbir Tanah menerusi surat bertarikh 13 Oktober 2021 telah memohon agar pihak Kuil Subramaniar meminda semula keluasan tapak kuil tambahan mengikut kelulusan dasar yang telah diluluskan oleh MMKN Ke 7/2012.