Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
217) PERMASALAHAN SOSIAL REMAJA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah jumlah andartu begitu tinggi di Negeri Selangor?
Jumlah andartu begitu tinggi di Negeri Selangor disebabkan:
- Mengutamakan faktor kewangan dan ekonomi yang menjadi penghalang untuk mereka memulakan kehidupan rumah tangga.
- Penglibatan wanita lebih banyak dalam sektor kemahiran tinggi dan mereka lebih memilih untuk meningkatkan pendidikan, profesionalisme dan kerjaya mereka.
- Faktor kewangan dan kerjaya menyebabkan wanita juga didapati terlalu memilih pasangan dan tidak bersedia untuk berkahwin. Bahkan data menunjukkan wanita lebih 40 tahun memilih untuk terus hidup tanpa komitmen sebagai seorang isteri atau seorang ibu.
- Jangka hayat wanita lebih tinggi daripada lelaki dan data ini terus meningkat seterusnya akan menjumlahkan angka yang tinggi kepada wanita yang tidak berkahwin.
-
Adakah kerana nilai wang hantaran terlalu tinggi?
Sebelum 2010 mas kahwin (mahar) wajib bagi anak dara RM80.00 dan janda RM40.00. Selepas Mac 2010, fatwa telah memutuskan mahar bagi semua wanita dara dan janda hendaklah pada had minima RM300.00 dan tiada had ‘ala (tertinggi). Urusan selain daripada itu yang melibatkan kewangan pihak calon suami tidaklah ditetapkan. Bagaimanapun, pihak-pihak telah membuat ketetapan masing-masing khusunya pihak calon isteri sehingga menyusahkan pihak calon suami dan menyebabkan perkahwinan tertangguh dan dibatalkan.
-
Apakah kerana masalah sosial remaja yang terlalu bebas sehingga mereka tiada keinginan untuk berkahwin?
Tetapi ia bukanlah menjadi faktor utama yang menyebabkan wanita lewat berkahwin. Ia menyumbang sebagai salah satu faktor kepada kenaikan angka atau data perempuan yang lewat berkahwin atau tidak berkahwin. Ini selaras dengan mafhum hadis Rasulullah SAW :
“Nikah itu adalah sebahagian sunnahku. Orang yang tidak mahu beramal (kerana benci), maka ia bukan daripada kalanganku. Bernikahlah kamu kerana aku bangga dengan ramainya umatku. Barangsiapa memiliki kemampuan bernikah, maka menikahlah’’
(Riwayat Ibnu Majah)
Perkahwinan adalah perkara yang penting sehinggakan Rasulullah s.a.w. tidak mengaku umatnya sekira seseorang itu tidak mahu berkahwin sedangkan mampu melakukannya tetapi memenuhi keinginan melalui perkara diluar fitrah dan diluar batasan agama. Oleh itu, pernikahan dalam Islam digalakkan adalah untuk menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan seterusnya mengelakkan perzinaan dan perbuatan luar tabi’e.
Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima pada tahun 2014 menunjukkan 35.7 peratus wanita bujang memberikan alasan untuk terus membujang. Lelaki dan wanita bujang memberikan alasan utama iaitu tidak berjumpa pasangan yang sesuai sehingga bergelar anak dara tua atau bujang terlajak. Kebanyakkan mereka bersetuju usia dianggap sesuai berkahwin bagi wanita ialah 26 tahun, manakala lelaki ialah 28 tahun. Wanita yang mencapai usia lebih 33 tahun disifatkan sebagai lewat berkahwin, manakala lelaki pula pada usia 37 tahun.