Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
139) PERMASALAHAN LEMBU LEMBU BERKELIARAN BEBAS DI JALANRAYA KAMPUNG KAMPUNG TRADISI
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apa tindakan jabatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menaik taraf Enakmen Kawalan Lembu Kerbau 1971 yang mana isu isu kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa akibat dari lembu berkeliaran semakin meningkat?. Perlu tindakan yang lebih tegas untuk membendung masalah ini.
PBT telah menggunapakai Enakmen Kawalan Lembu Kerbau 1971 bermula pada tahun 2015. Selain itu, dibawah Akta Kerajaan Tempatan terdapat peruntukkan bagi tindakan kacauganggu yang juga digunapakai dan dilaksanakan bagi tindakan kawalan ke atas kacauganggu haiwan ternakan berkeliaran. PBT sentiasa melaksanakan tindakan kawalan dari semasa ke semasa ke atas isu kacauganggu haiwan ternakan berkeliaran seperti berikut :
- Melaksanakan pemantauan kacauganggu haiwan ternakan berkeliaran dan membuat tangkapan terus ditapak;
- Menyita haiwan ternakan dan membuat lelongan awam;
- Mengeluarkan arahan pemindahan kandang ternakan tanpa kebenaran yang dikenalpasti di kawasan pentadbiran PBT;
- Melaksanakan operasi perobohan kandang tanpa kebenaran secara usahasama dengan Pejabat Tanah & Daerah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan lain-lain agensi berkaitan;
- Bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mengenalpasti kandang ternakan baru dan mengemaskini maklumat kandang ternakan yang berada di kawasan PBT; dan
- Tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik haiwan ternakan.
Yang Berhormat sekalian, untuk makluman, isu ini telah dibincangkan ke dalam Mesyuarat Penyelarasan Jabatan Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan Bil. 2/2022 yang telah diadakan pada 14 Disember 2022. Hasil dari mesyuarat tersebut, ahli mesyuarat bersetuju untuk melakukan gubalan baru untuk mengatasi dan mengawal isu ini. Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut berkenaan isu ini bersama PBT Negeri Selangor sebelum diangkat untuk mendapatkan keputusan dasar.