Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
48) PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR DAN TADAHAN AIR DI HUTAN SIMPAN BUKIT CHERAKAH
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk melindungi hidupan/habitat asal hidupan liar di Hutan ini?
Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal pada masa kini adalah seluas ±1,298.86 hektar (±3,208 ekar) dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan dengan keluasan ±982.80 hektar (±2,427.51 ekar). Kedua-dua hutan simpanan kekal ini masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan iaitu Hutan Tadahan Air dan Hutan Bagi Maksud-maksud Persekutuan. Pada dasarnya, dengan keluasan kedua-dua hutan simpanan kekal ini adalah masih mencukupi bagi tujuan perlindungan habitat flora dan hidupan liar seperti tapir, burung, serangga, unggas dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapatnya konflik hidupan liar yang berlaku di kawasan penempatan manusia yang terletak berhampiran dengan hutan simpanan kekal ini. Justeru itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berkerjasama dengan Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor dalam mengurus dan mengawal konflik hidupan liar melalui kaedah pengurusan konflik yang bersesuaian. Di samping itu juga, kempen-kempen kesedaran awam kepada masyarakat awam, komuniti dan pelajar sekolah mengenai kepentingan memelihara flora dan fauna sentiasa dilaksanakan.
-
Apakah jaminan kerajaan pembangunan di hutan ini tidak menganggu sistem tadahan air untuk kawasan sekitar hutan ini?
Untuk makluman, terdapat beberapa empangan di kawasan hutan simpanan kekal ini iaitu Empangan Tasik Subang, Empangan Air Kuning dan Empangan Sungai Baru. Kerajaan Negeri akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan hutan ini mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa pada masa kini. Di antaranya adalah seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Keperluan pematuhan syarat-syarat ini juga adalah bagi menjamin kelestarian alam sekitar dipelihara di samping pembangunan sosio ekonomi di negeri Selangor dapat diuruskan secara seimbang.