Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

356) PERLINDUNGAN DATA PERIBADI RAKYAT SELANGOR DAN SISTEM PADU

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan menggunakan sistem PADU daripada Persekutuan sebagai panduan dan rujukan untuk melaksanakan program-program Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan insentif dan bantuan Kebajikan?

    Sistem Pangkalan Data Utama atau singkatannya PADU merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi bagi mengukuhkan pengurusan dan pengemaskinian maklumat antara lainnya bagi meningkatkan keberkesanan pemberian bantuan Kerajaan kepada rakyat secara optimum. Ini bagi memastikan bahawa bantuan Kerajaan difokuskan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

    Sehingga kini, sistem PADU dalam peringkat untuk disebarluaskan bagi memastikan setiap rakyat Malaysia diberikan peluang dan ruang untuk mendaftar dan mengemaskinikan maklumat masing-masing sehingga ke akhir bulan Mac. Sebarang penggunaan ataupun kerjasama berkait sistem ini hanya dapat dimulakan selepas proses itu disempurnakan

  2. Berapakah kos perbelanjaan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2022, 2023 dan 2024 untuk penyelenggaraan dan Pembangunan sistem-sistem yang digunakan untuk menyelaras dan menguruskan insentif serta program-program Kerajaan Negeri di Selangor?

    Pelbagai sistem telah dibangunkan oleh pelbagai agensi bagi tujuan pemudahcara untuk menyelaras dan menguruskan insentif serta program-program Kerajaan Negeri Selangor.

    Seksyen Sektoral sebagai penyelaras utama pemberian bantuan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat telah membangunkan Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) bermula Mac 2019 sehingga Oktober 2022 dan telah tamat waranti pada Oktober 2023.

    Manakala, Sistem Pembiayaan Pendidikan Selangor pula adalah sistem menguruskan pembiayaan pendidikan mengikut peringkat pengajian menggunakan dana Kerajaan Negeri Selangor di bawah kendalian Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

    YAWAS pula telah diamanahkan untuk memproses beberapa insentif permohonan rakyat untuk pendidikan awal anak-anak dan bantuan perayaan. Hijrah pula menyediakan insentif untuk peluang pekerjaan dan perniagaan. Perpustakaan Negeri Selangor turut terlibat di bawah program pendidikan memudahkan peminjaman desktop  dan laptop selama 180 hari melibatkan 50 Perpustakaan Awam Selangor.

    SELCARE dan Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan fokus kepada program kesihatan. Manakala, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd menumpukan pemberian insentif di bawah perumahan.

    Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri Selangor melalui beberapa agensi  telah membelanjakan sekitar RM3,485,408.27 bagi pembangunan dan penyelenggaraan sistem-sistem berkaitan.

    Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor melalui beberapa agensi  telah membelanjakan sekitar RM2,075,010.06 bagi pembangunan dan penyelenggaraan sistem-sistem berkaitan.

    Manakala pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi-agensi berkaitan akan membelanjakan sebanyak RM498,770.71 untuk keperluan pembangunan dan penyelenggaraan sistem-sistem sebagai pemudahcara menyelaras dan menguruskan insentif serta program-program Kerajaan Negeri di Selangor.

    Secara keseluruhan, sebanyak RM5,560,418.33 telah dibelanjakan pada tahun 2022 hingga tahun 2023.

  3. Apakah jaminan Kerajaan Negeri, data-data tersebut tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik di Selangor?

    Secara amnya, pentadbiran ini berpegang kepada pendirian bahawa pengurusan maklumat merupakan proses yang sentiasa berlangsung dengan mengambil kira kepada pembangunan teknologi yang berkembang pada setiap masa bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat global. Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri sentiasa meningkatkan persediaan dalaman melalui pemberdayaan penjawat awam bagi memastikan sebarang ancaman kepada sistem pengurusan maklumat dapat diatasi dan pentadbiran ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menyalahgunakan maklumat rakyat negeri Selangor bagi tujuan peribadi ataupun komersial.

Lampiran

Tiada Lampiran.