Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
22) PERLESENAN SAMPAN DI KUALA LANGAT DAN SEPANG
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah punca lesen sampan dibekukan ekoran sumber laut berkurangan?
Jabatan Perikanan Malaysia membekukan pengeluaran lesen vesel menangkap ikan bagi Zon A (Tradisional) di seluruh negara sejak tahun 1980an lagi. Perkara tersebut dinyatakan adalah berdasarkan kepada hasil kajian saintifik yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (IPP). (Rujuk Sisipan Tambahan 1).
Kajian sumber perikanan yang dilakukan pada tahun 1970an, 1980an, 1990an dan 2010 di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia menunjukkan sumber perikanan di Semenanjung Malaysia terutamanya Zon Pantai mengalami kemerosotan ketara dan telah mencapai tahap eksploitasi optima.
Hasil kajian sumber perikanan ini juga menunjukkan bahawa sumber perikanan laut dalam di Pantai Barat Semenanjung Malaysia juga mengalami kemerosotan dan mencapai tahap eksploitasi optima. Oleh yang demikian, Jabatan Perikanan Malaysia juga telah membekukan pengeluaran lesen vesel menangkap ikan Zon B, Zon C dan Zon C2 di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
-
Apakah langkah-langkah pihak berwajib memastikan sumber laut sentiasa mencukupi dengan jumlah nelayan yang ada?
Jabatan Perikanan Malaysia mengambil inisiatif dalam memastikan kadar eksploitasi sumber laut adalah seimbang dengan status sumber terutamanya di Negeri Selangor bagi memastikan kelestarian industri perikanan. Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia untuk memastikan sumber perikanan di perairan negeri sentiasa lestari iaitu seperti:-
- Tiada pengeluaran lesen vesel menangkap ikan yang baru
- Memperbanyakkan kawasan melabuh tukun tiruan di dasar laut untuk meningkatkan sumber perikanan (Rujuk Sisipan Tambahan
- Bekerjasama dengan agensi lain seperti Majlis-Majlis Daerah dan Jabatan Perhutanan bagi program menanam pokok bakau pesisir pantai yang merupakan habitat penting organisma marin
- Jabatan Perikanan Malaysia juga dalam proses pelaksanaan exit policy bagi peralatan pukat tunda di Zon B bertujuan untuk memulihara habitat kritikal dan sumber di perairan pantai untuk jangka masa panjang
- Meningkatkan penguatkuasaan bagi peralatan yang merosakkan sumber seperti bubu naga, belat dan pukat surung
- Membuat pelepasan umum benih ikan di perairan pantai dan muara.
-
Senaraikan statistik kompaun yang dikenakan kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen ketika aktiviti menangkap ikan.
Seksyen 8 Akta Perikanan 1985 menyatakan bahawa;
“Mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan –
S.8(a) tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan di bawah Bahagian ini;
Adalah bersalah melakukan suatu kesalahan”
Sehingga kini Jabatan Perikanan Negeri Selangor menguatkuasakan Seksyen 8(a) kepada mana-mana nelayan tradisi tempatan di Negeri Selangor dengan memberi amaran secara lisan sahaja. Walau bagaimanapun, jika didapati mana-mana nelayan tradisi yang menangkap ikan tanpa lessen dan menggunakan peralatan yang tidak dilesenkan seperti belat ikan dan bubu naga pihak penguatkuasa Jabatan akan menyita peralatan menangkap ikan dan sampan.
Tahun 2019 sebanyak 12 kes sitaan bubu naga dan sampan tanpa lessen berjaya dilakukan dengan melibatkan lapan buah sampan dan 168 buah bubu naga. Juga terdapat dua kes sitaan belat ikan direkodkan untuk tahun yang sama. Bagi tahun 2020, sebanyak tiga (3) kes tangkapan bagi sampan dan peralatan yang tidak dilesenkan melibatkan peralatan pukat hanyut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu satu (1) kes di perairan Kuala Langat dan dua (2) kes di perairan Jeram, Kuala Selangor.
Bagi kes tersebut nelayan telah dibawa ke mahkamah untuk disabitkan kesalahan dan mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda (kompaun) sebanyak RM500.00 bagi kes tangkapan sampan dan peralatan tidak dilesenkan melibatkan peralatan pukat hanyut. (Rujuk Lampiran 22-1C – Laporan Kajian Sumber Demersal Jab Perikanan Malaysia).