Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

251) PERLAKSANAAN PROGRAM INSAN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan objektif dan intipati program Insuran Am Negeri Selangor (INSAN).

    Program INSAN merupakan salah satu inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (“ISP”).  Objektif Program Insan adalah untuk menyediakan jaring keselamatan (safety net) dalam bentuk perlindungan insurans am kepada semua rakyat di negeri Selangor berusia 30 hari sehingga 80 tahun bagi meringankan bebanan kos sara hidup yang terus meningkat yang akan lebih mencabar sekiranya berlaku kecederaan, kehilangan upaya atau kematian akibat kemalangan.

    Perlindungan di bawah Program INSAN yang merupakan insurans kemalangan diri berkelompok adalah sebanyak RM10,000 seorang, termasuk perbelanjaan pengebumian sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan.

    Pendaftaran adalah percuma dan dibuat secara digital melalui aplikasi e-dompet Wavpay.

  2. Berapa penduduk Selangor sudah daftar untuk program ini sejak 1 Oktober 2022?

    Sehingga 17 November 2022, seramai 3,562,260 orang telah berdaftar dengan Program.

  3. Berapa jumlah peruntukan untuk program ini?

    Perlindungan insurans kemalangan diri berkelompok kepada 6 juta penduduk di negeri Selangor dengan nilai perlindungan keseluruhan sebanyak RM60 bilion di bawah Program INSAN telah dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM12 juta tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.