Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
35) PERLAKSANAAN INSURAN AM SELANGOR (INSAN) DENGAN MEKANISME PATUH SYARIAH ATAU TAKAFUL
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah jangkaan perlaksanaan Insuran Am Selangor (INSAN) berteraskan kaedah patuh syariah atau takaful bermula?
Pelaksanaan Program Insurans Am Selangor (INSAN) berteraskan kaedah patuh syariah dijangkakan akan bermula pada bulan April 2023 tertakluk kepada pemuktamadan terma dan syarat perjanjian perkhidmatan dengan pembekal perkhidmatan takaful yang dipilih berikutan dari jemputan kepada empat (4) syarikat takaful iaitu Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Etiqa General Takaful Berhad, Takaful Iklas General Berhad dan Takaful Malaysia Berhad, untuk menyertai permohonan sebutharga bagi perkhidmatan takaful tersebut.
-
Apakah ada mekanisme penukaran daripada kaedah konvensional kepada kaedah patuh syariah atau takaful untuk umat Islam yang telah menyertainya?
Tiada penukaran daripada kaedah konvensional kepada kaedah takaful. Penerima manfaat perlindungan insurans kemalangan peribadi yang telah berdaftar di bawah Program INSAN sebelum tarikh mula kaedah takaful ditawarkan akan dibenarkan untuk mendaftar diri dengan kaedah takaful. Sesiapa yang mendaftar diri selepas tarikh mula kaedah takaful akan diberi opsyen memilih antara kaedah konvesional atau takaful.
-
Sejauh mana komitmen pihak kerajaan untuk dilaksanakan?
Pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat kepada semua pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada Program INSAN agar perlindungan insurans ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan kaedah takaful bagi Program INSAN dalam masa yang terdekat. Walau bagaimanapun pelaksanaan tersebut perlu melalui proses perolehan dan mengambilkira beberapa pertimbangan lain, termasuk peruntukan dana bagi pelaksanaan Program INSAN mengikut kaedah takaful.