Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
122) PERLAKSANAAN CADANGAN INSURAN KEDIAMAN BERSTRATA
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah cadangan menginsurankan projek kediaman berstrata akan dilaksanakan seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022?
Kerajaan Negeri komited melaksanakan skim Insurans Pangsapuri Kos Rendah seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 bertarikh 26 November 2021. Dianggarkan sebanyak 55 projek pangsapuri atau 15 ribu petak unit rumah kos rendah akan diinsuranskan dibawah skim ini dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
-
Apakah mekanisme perlaksanaan kiranya ia dilaksanakan?
Secara asasnya, adanya perlindungan insurans di setiap pangsapuri maka Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) boleh membuat pampasan daripada perlindungan insurans ke atas kerosakan akibat kebakaran, bencana alam seperti ribut, banjir serta angin kencang, kerosakan akibat pecahan atau limpahan tangki air dan kerosakan mesin jentera lif.
Mekanisme pelaksanaan skim insurans pangsapuri kos rendah ini adalah tertakluk kepada kriteria pangsapuri seperti berikut:
i. Usia bangunan pangsapuri telah melebihi tempoh 10 tahun ;
ii. Senarai nama pangsapuri akan dicadangkan oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT kepada LPHS.
iii. Pangsapuri mesti mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) atau ejen pengurusan di bawah pelantikan COB.
iv. Pangsapuri jenis kos rendah atau harga jualan belian asal tidak melebihi RM45,000.00 seunit.
v. Pangsapuri tidak mempunyai masalah berkaitan struktur atau mendapan tanah dan lain-lain isu kerosakan yang tidak boleh diinsuranskan.
vi. Pangsapuri dijadikan asrama pekerja asing tidak layak menerima skim insurans pangsapuri kerajaan negeri ini.
vii. Bantuan skim insurans ini diberi sekali sahaja dan nama pangsapuri tersebut akan didaftarkan dalam sistem bantuan fizikal Pangsapuri Negeri Selangor (Sistem E-ceria) yang berpusat di LPHS. Badan pengurusan pangsapuri juga perlu mengemukakan laporan kewangan semasa kepada COB melalui Sistem Kewangan Pangsapuri (E-COB).
Perlindungan skim ini melibatkan tuntutan kerosakan fizikal bangunan sahaja. Selain risiko yang boleh diinsuranskan yang bukan disenaraikan di bawah skim ini adalah di bawah tanggungan badan pengurusan JMB/MC/ejen pengurusan pangsapuri berkenaan.
-
Bagaimanakah jika ada pihak yang ingin mendapatkan manfaat daripada cadangan tersebut?
Nama-nama pangsapuri yang bakal menerima manfaat skim insurans pangsapuri ini dicadangkan oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada LPHS. Sekiranya, skim ini masih diteruskan pada tahun-tahun berikutnya, maka permohonan boleh dibuat terus kepada LPHS melalui sistem bantuan fizikal pangsapuri Negeri Selangor (E-ceria). Walau bagaimanapun, kewajipan menginsuranskan pangsapuri ini masih di bawah tanggungjawab badan pengurusan selari dengan Seksyen 93(1) Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) iaitu, “mana-mana orang atau badan yang mempunyai kewajipan atau bertangungjawab di bawah Akta ini untuk menyenggara dan menguruskan mana-mana bangunan hendaklah menginsuranskan bangunan itu di bawah suatu polisi kerosakan dengan penanggung insurans yang berlesen mengikut bahagian ini”.