Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
87) PERKUKUH AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan akidah ahli sunnah wal jamaah di Selangor?
Usaha-usaha Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor adalah:
- JAIS berusaha mendidik umat Islam dengan memberi kefahaman dan penjelasan mengenai akidah Islam, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kepentingan menjaga akidah serta simptom-simptom ajaran sesat melalui pelaksanaan program dan aktiviti mengikut touchpoint (kumpulan sasaran) di peringkat negeri dan di peringkat daerah. serta berkolaborasi dengan pihak lain seperti NGO, agensi dan institusi. Program ini diadakan dalam bentuk seminar, forum dan ceramah di lokasi bersama masyarakat dan sebahagiannya boleh ditonton secara langsung atau rakaman di media sosial. Selain itu, penjelasan dan pemahaman mengenai akidah Islam disebarkan melalui poster infografik dan video grafik yang disebarkan di internet terutamanya di media sosial serta melalui penulisan artikel, jurnal, pamplet dan buku. Ia disebarkan secara percuma kepada masyarakat dan sebahagiannya boleh dimuat turun daripada laman web JAIS.
- JAIS juga menyediakan kurikulum pengukuhan akidah di dalam silibus pembelajaran di sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan JAIS. Di samping itu pengajian akidah juga turut di ajar oleh guru-guru takmir di masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor yang mana kelas ini boleh dihadiri dan disertai oleh orang Islam.
- JAIS turut memberikan penjelasan melalui penyediaan teks-teks khutbah Jumaat yang menyentuh tajuk berkaitan akidah Islam, kepentingan menjaga dan memelihara akidah serta tajuk-tajuk khas seperti Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Fahaman Liberal Perosak Akidah, Liberal Perosak Islam, LGBT Tabiat Songsang dan Menangani LGBT.
- JAIS juga berusaha melaksanakan pencegahan ajaran-ajaran menyeleweng dan sesat melalui kawalan tauliah ceramah.
- JAIS turut melaksanakan pencelahan dalam isu dan masalah berkaitan pegangan akidah umat Islam yang dihadapi dalam kes-kes rumah tangga dan kekeluargaan melalui Pegawai Rundingcara Keluarga.
- Bagi usaha penguatkuasaan undang-undang, JAIS konsisten menerima aduan dan mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima berkaitan kesalahan-kesalahan yang berlawanan dengan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Selangor dan Fatwa Negeri Selangor.
- Usaha-usaha pemulihan akidah, JAIS bekerjasama dengan MAIS memulihkan akidah mengikut modul istitabah (taubat) bagi orang Islam yang mempunyai akidah yang rapuh terutamanya mereka yang didakwa sesat oleh Mahkamah Syariah samada pengisytiharan secara terbuka mahupun secara tertutup.
- Bagi memantapkan lagi usaha-usaha mengukuhkan akidah umat Islam di Negeri Selangor, JAIS sedang menjalankan kajian penyelidikan yang bertajuk Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama’ah di Selangor dan Cabarannya untuk dirujuk dan merancang tindakan-tindakan bersesuai dalam usaha mengukuhkan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negeri Selangor.