Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
122) PERKUBURAN
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar kerajaan Selangor dalam pemberian tanah untuk tanah perkuburan?
Kerajaan Negeri tiada dasar dalam pemberian tanah untuk tujuan tanah perkuburan. Walau bagaimanapun, menurut Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil. 1/2005, pemaju atau pemilik tanah yang membangunkan kawasan seluas 202.345 hektar (500 ekar) dan ke atas bagi pembangunan perumahan / kediaman atau pembangunan bercampur diwajibkan menyediakan tapak perkuburan (Islam dan Bukan Islam) dalam kawasan yang dibangunkan untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk dirizabkan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.
Sekiranya pemaju enggan atau keberatan menyediakan tapak perkuburan di kawasan pembangunan yang dilaksanakan, mereka dikehendaki membiayai kos pengambilan balik tanah di tapak lain mengikut keluasan yang sama sebagaimana yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Pembangunan yang kurang daripada 202,345 hektar (500 ekar) pemaju atau pemilik tanah tidak diwajibkan menyediakan tapak kubur dalam kawasan pembangunan mereka. Mereka hanya wajib menyumbang ke dalam ’Tabung Amanah Perkuburan’ sebanyak RM62.50 setiap unit / petak rumah kediaman.
-
Berapakah keluasan tanah yang digunakan untuk perkuburan awam dan perkuburan swasta?
Jumlah keluasan perkuburan awam adalah 535.04 ekar, manakala keluasan bagi perkuburan swasta adalah 223 ekar.
(Maklumat hanya bagi daerah Hulu Langat, Hulu Selangor dan Sepang)
-
Apakah syarat-syarat yang dikenakan dalam kelulusan permohonan tanah perkuburan swasta?
Bagi syarat pembangunan kubur swasta, syarat yang dikenakan adalah kategori bangunan dan syarat nyata tanah adalah perniagaan.