Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
334) PERKHIDMATAN JALUR LEBAR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah perkhidmatan jalur lebar seluruh kawasan DUN Kuang telah dinaik taraf ke status 5G? Jika belum, sila nyatakan kawasan yang masih belum terlibat.
Pelaksanaan 5G di Malaysia telah dijalankan oleh syarikat yang dilantik oleh Kerajaan iaitu pihak Digital Nasional Berhad (DNB) sejak tahun 2021. Melalui DNB, Kerajaan telah menyasarkan untuk menyiapkan sebanyak 1,838 tapak di negeri Selangor yang merangkumi kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 1,809 tapak telah beroperasi dengan 29 tapak lagi masih di dalam pelaksanaan. Dengan status ini, kadar liputan 5G ini telah mencapai 96.9% liputan bagi kawasan berpenduduk di negeri Selangor melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
DNB telah menyiapkan sepenuhnya 30 tapak yang berada di dalam DUN Kuang dan semua tapak-tapak ini telahpun beroperasi.
-
Pada waktu malam, kelajuan perkhidmatan jalur lebar ini menjadi semakin berkurang akibat dari kapasiti peggunaan yang tinggi. Apakah inisiatif atau rancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar ini?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa menjalankan ujian kualiti perkhidmatan secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat pemberi perkhidmatan sentiasa mematuhi standard yang ditetapkan. Untuk sebarang aduan berkaitan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan, mana-mana pihak boleh membuat aduan terus kepada syarikat pemberi perkhidmatan ataupun membuat aduan kepada MCMC melalui Portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my/
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) merupakan usaha kerajaan untuk meluaskan dan meningkatkan kualiti liputan terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil di negeri Selangor. Melalui pelan JENDELA ini, terdapat beberapa rangka kerja telah dirancang seperti, pembinaan menara baharu, menaiktaraf menara sedia ada kepada perkhidmatan 4G, peluasan penyediaan perkhidmatan gentian optik, dan penyediaan jalur lebar satelit.
Sehingga 31 Disember 2024, bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar mudah alih, sebanyak 563 buah menara telah pun siap dibina daripada 566 jumlah menara yang dirancang. Dalam usaha mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, sebanyak 9,878 stesen pemancar telah pun siap dinaiktaraf kepada 4G. Bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 850,957 daripada 863,285 premis telah pun tersedia dengan gentian optik berkeupayaan gigabit. Baki inisiatif yang sedang di dalam pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2025.
Selain inisiatif pelan JENDELA, Kementerian Komunikasi (KK) juga mengendalikan projek yang dikenali sebagai Point of Presence (PoP). Inisiatif ini diperkenalkan untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah PoP hab gentian optik yang memberi fokus kepada kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk. Secara keseluruhannya, jumlah PoP di negeri Selangor adalah sebanyak 226 PoP. Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 181 kawasan PoP telah berjaya disiapkan untuk dilanggan dan boleh menikmati perkhidmatan langganan internet berkelajuan tinggi tersebut. Hasil daripada projek ini mampu meningkatkan kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik sekaligus merapatkan jurang digital, menyokong pembangunan yang seimbang dan inklusif, menyokong pembangunan teknologi baharu dan generasi-generasi teknologi komunikasi yang akan datang.
Bagi perkhidmatan 5G pula, liputan di kawasan berpenduduk setakat 31 Disember 2024 di negeri Selangor adalah 96.9%. Sebanyak 1,809 tapak pemancar 5G telah pun siap dibina daripada 1,838 jumlah tapak pemancar 5G yang dirancang.
Inisiatif yang dijalankan ini adalah dengan kerjasama usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan perluasan kawasan liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh negara termasuk di negeri Selangor.
Maklumat tambahan
Status pelaksanaan projek JENDELA di kawasan DUN Kuang setakat 31 Disember 2024:
Inisiatif Negeri / DUN Tapak Menara Baharu Naik Taraf Stesen Pemancar Premis Tersedia Gentian Optik Perancangan Siap Perancangan Siap Perancangan Siap Selangor 566 563 9,878 9,878 863,247 850,957 Kuang 18 18 153 153 15,033 15,609 *Nota: Jumlah gentian optik siap di DUN Kuang melebihi perancangan kerana keperluan tambahan di kawasan tertentu apabila melibatkan fiber