Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
174) PERKHIDMATAN E-HAILING
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu anak muda yang terlibat dalam industri e-hailing dalam keadaan belenggu kos operasi yang tinggi?
Perkhidmatan e-hailing merupakan suatu perkhidmatan mengambil/menghantar penumpang yang tempahannya dibuat melalui padanan aplikasi yang terdekat melibatkan suatu kadar tambang yang dipersetujui antara penumpang dan pemandu. Model operasi perkhidmatan e-hailing adalah berbeza dengan mod perkhidmatan kenderaan awam yang lain dan ianya dikawalselia melalui syarat-syarat pelesenan yang dikenakan kepada syarikat dan pemandu yang berdaftar sesuai dengan keperluan ekonomi gig pada masa kini tanpa melepaskan tanggungjawab supaya perkhidmatan yang disediakan adalah selamat kepada pengguna.
Buat masa ini, tiada bantuan khusus diberikan kepada penggiat e-hailing. Namun, Kerajaan Negeri bersedia untuk mengkaji kaedah dan pelaksanaan inisiatif yang terbaik. Seperti sedia maklum, industri e-hailing juga antara penyumbang kepada kelangsungan ekonomi di Negeri Selangor terutama dalam fasa pasca Covid-19.
Walaupun bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggalakkan penggiat e-hailing untuk mencarum dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi memberi perlindungan ketika melaksanakan tugasan. Mengikut statistik 2024, seramai 3714 orang dalam kalangan belia telah mendaftar skim ini. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menggalakkan semua yang terlibat dengan pekerjaan ini mempunyai akaun KWSP bagi membolehkan mereka membuat caruman sendiri atau sukarela.