Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

100) PERKHIDMATAN E-HAILING

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu para pekerja e-hailing khususnya di kalangan belia Negeri Selangor? Berapakah jumlah pekerja e-hailing yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif Kerajaan Negeri?

    Perkhidmatan e-hailing dan p-hailing adalah dua perkara berbeza yang menjadi topik perbahasan sehingga kini. Perkhidmatan e-hailing merupakan suatu perkhidmatan mengambil/menghantar penumpang yang tempahannya dibuat melalui padanan aplikasi yang terdekat melibatkan suatu kadar tambang yang dipersetujui antara penumpang dan pemandu. Model operasi perkhidmatan e-hailing adalah berbeza dengan mod perkhidmatan kenderaan awam yang lain dan ianya dikawalselia melalui syarat-syarat pelesenan yang dikenakan kepada syarikat dan pemandu yang berdaftar sesuai dengan keperluan ekonomi gig pada masa kini tanpa melepaskan tanggungjawab supaya perkhidmatan yang disediakan adalah selamat kepada pengguna.

    Perkhidmatan p-hailing pula merupakan suatu perkhidmatan mengambil/menghantar barangan/makanan yang tempahannya juga dibuat melalui padanan aplikasi yang terdekat melibatkan suatu kadar upah yang dipersetujui antara penjual dan pembeli. Model operasi perkhidmatan p-hailing adalah melalui kenderaan motosikal dan menghantar ke destinasi tempahan.

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bermula dari tahun 2020. Inisiatif RiDE ini memfokuskan kepada penggiat p-hailing dan seramai 9,000 orang telah menerima manfaat tersebut. Kerajaan Negeri melalui pembentangan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2024, Dato’ Menteri Besar Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 1,000,000.00 bagi pelaksanaan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada p-hailing dan e-hailing.

    Kerajaan Negeri dalam fasa mengkaji kaedah dan pelaksanaan inisiatif ini untuk dikembangkan kepada pemandu e-hailing. Seperti sedia maklum, industri e-hailing juga antara penyumbang kepda kelangsungan ekonomi di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah mengaturkan beberapa strategi untuk membantu mereka yang terlibat dengan perkhidmatan tersebut. Pada ketika ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menggalakkan penggiat p-hailing dan e-hailing untuk mencarum dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi memberi perlindungan ketika melaksanakan tugasan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menggalakkan semua yang terlibat dengan pekerjaan ini mempunyai akaun KWSP bagi membolehkan mereka membuat caruman sendiri atau sukarela.

    Berdasarkan anggaran terkini, terdapat lebih kurang 300 ribu pemandu e-hailing yang berdaftar dengan syarikat penyedia perkhidmatan Grab di seluruh negara, manakala Uber pula sudah tidak beroperasi lagi kerana syarikat tersebut telah menjual perniagaannya di rantau Asia Tenggara kepada Grab. Walaupun Kerajaan telah mengawal selia perkhidmatan e-hailing melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan 2017) dan undang-undang yang berkaitan yang telah dikuatkuasakan bermula pada 12 Julai 2018, Kerajaan masih komited dalam memastikan kebajikan pemandu teksi terbela dan mereka tidak rugi dengan wujudnya perkhidmatan Grab.

Lampiran

Tiada Lampiran.