Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

313) PERKHIDMATAN DEMAND RESPONSIVE TRANSIT (DRT)

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di empat lokaliti dalam Negeri Selangor. Apakah nilai kontrak yang diberikan kepada Asia Mobiliti dan jelaskan proses pelantikan secara terperinci termasuk terma-terma dalam perjanjian pelantikan? Nyatakan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk projek Selangor Mobility.

    Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Coach Sdn Bhd telah dilantik untuk menjalankan proses pengujian Proof of Concept (POC) yang di namakan Projek Rintis DRT di Selangor dengan peruntukan subsidi sebanyak RM2.166 juta setiap syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi sepanjang tempoh percubaan. Peruntukan subsidi ini adalah bagi penetapan kadar tambang tetap perjalanan yang berpatutan sebanyak RM2.00 bagi setiap pengguna.

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menetapkan bahawa syarikat-syarikat perlu mendapatkan kelulusan APAD untuk menjalankan proses pengujian POC perkhidmatan Bus on Demand atau dikenali sebagai DRT. Berpandukan syarat yang ditetapkan oleh APAD, Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Awam Negeri Selangor telah bersetuju untuk pelaksanaan perkhidmatan DRT dibuka kepada semua syarikat yang telah diluluskan oleh APAD pada waktu itu.

    Pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Coach Sdn Bhd sebagai syarikat pengendali perkhidmatan untuk proses pengujian POC Projek Rintis DRT telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT setelah pembentangan dibuat oleh syarikat-syarikat tersebut dan seterusnya diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MBI dengan sokongan Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan Kanan MBI.

    Terma-terma utama surat pelantikan adalah, antara lain, seperti berikut:

    • tempoh pelantikan adalah selama sepuluh (10) bulan;

     

    • tempoh pengujian Proof of Concept (POC) perkhidmatan DRT setiap zon adalah enam (6) bulan dan dua (2) bulan adalah untuk tempoh persediaan bagi setiap zon;

     

    • setiap syarikat akan beroperasi di empat (4) zon di Selangor, satu daripada zon tersebut mesti terdiri daripada zon ‘underserved’, iaitu kawasan yang kekurangan akses kepada pengangkutan awam;

     

    • peruntukan berjumlah RM2.166 juta dibayar secara berperingkat sebanyak tiga (3) kali pembayaran mengikut terma pembayaran dan sasaran prestasi yang ditetapkan; dan

     

    • kadar tambang ditetapkan sepanjang tempoh percubaan adalah RM2.00 setiap pengguna.

    Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor telah diperuntukan RM25 juta bagi meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor sedia ada dan menambah baik keperluan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

    Y.A.B. Dato Menteri Besar Selangor telah mengumumkan penjenamaan semula
    Bas Smart Selangor kepada Selangor Mobility dengan jumlah peruntukan yang sama melalui Ucapan Belanjawan 2023 pada Oktober 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.