Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

270) PERKHIDMATAN BEKALAN AIR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana kenaikan tarif air di Selangor akan membantu untuk meningkat mutu perkhidmatan dan bekalan air?

    Pelarasan tarif air baharu ini membolehkan Air Selangor membuat pelaburan berterusan bagi membina daya tahan dan kelestarian air, sekaligus memastikan kelangsungan perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan para pengguna di masa hadapan.

    Ini akan memanfaatkan pengguna menerusi inisiatif berikut:

    i. Loji Rawatan Air (LRA)
    • Bekalan air berterusan melalui pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20% pada 2030.
    o LRA Rasau Peringkat 1: Siap 2025
    o LRA Penyahgaraman Pulau Ketam: Siap 2026
    o LRA Rasau Peringkat 2: Siap 2028
    o LRA Labohan Dagang Fasa 2: Siap 2029

    ii. Program Penggantian Paip
    • Program penggantian paip daripada 150 km setahun kepada 300 km setahun bermula 2024, dan kemudiannya 400 km setahun bermula 2034. Ini membolehkan 5,000 km paip usang dapat diganti dalam tempoh 15 tahun menjelang 2040.

    iii. Air Tidak Terhasil (NRW)
    • Program Penggantian Paip juga akan mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) secara konsisten kepada 27.5% pada 2025 dan 25% pada 2030. Inisitiatif NRW ini termasuklah:
    o Penambahan 100 District Metering Zone (DMZ) setahun bagi mencapai liputan sebanyak 80% pada 2028.
    o Memperkenalkan Pressure Management Zone (PMZ) sebanyak 20 PMZ setahun.
    o Pemasangan alat-alat berteknologi tinggi seperti Pressure Transient Station dan Permanent Leak Noise Correlating Logger.
    o Mempertingkatkan jumlah Leak Inspector daripada 187 orang kepada 261 orang pada 2024.

    iv. Kerja-Kerja Menaik Taraf Aset
    • Mempertingkatkan kerja-kerja pemulihan, peningkatan dan menaik taraf aset Air Selangor seperti pembinaan kolam air, rumah pam dan pemasangan paip baharu di kawasan yang mengalami tekanan air rendah.
    o Untuk tahun 2024 – 2026, Air Selangor akan membaik pulih 9 kolam, 28 rumah pam, dan memasang paip baharu di 23 lokasi.
    o 34 LRA, 8 empangan dan 4 Off-River Storage pula akan dinaik taraf untuk 3 tahun masing-masing.

    v. Peningkatan Tahap Kualiti Air
    • Mengekalkan tahap kualiti air pada tahap 99% piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi:
    o Mempertingkatkan kerja-kerja pencucian kolam air dan paip kepada 321 dan 11,833km masing-masing.
    o Penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air sebanyak 190 buah kepada 300 buah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    vi. Mempertingkatkan Customer Experience
    • Menerusi strategi pemerkasaan pelanggan (customer empowerment) bagi menggalakkan lebih banyak platform non-voice bagi memudahkan pengguna berkomunikasi.
    • Menaik taraf aplikasi Air Selangor dan portal aduan pengguna kepada “super app” dan “super web”.

  2. Apakah rancangan atau tindakan untuk menyelesai isu tekanan air yang rendah di Taman Bersatu, Bandar Country Homes dan Rawang Perdana 5?

    Berikut adalah info tambahan tentang keadaan di setiap kawasan tersebut serta rancangan dan tindakan bagi menyelesaikan isu tekanan air rendah di Taman Bersatu, Bandar Country Homes dan Rawang Perdana 5:

    i. Taman Bersatu Rawang
    • Air Selangor telah menjalankan semakan tapak di lokasi Taman Bersatu dan mendapati tekanan air semasa adalah normal. Tiada masalah tekanan air rendah di kawasan ini.

    ii. Bandar Country Homes (BCH)
    • Jajaran paip di kawasan BCH adalah jenis simen asbestos (AC) manakala sistem pengepaman pula sudah uzur yang telah berusia lebih 30 tahun. Oleh yang demikian, kawalan tekanan air telah dilaksanakan bagi mengekang dan mengurangkan jumlah paip pecah yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna.
    • Air Selangor sedang merancang untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip di Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes pada penghujung tahun 2024 atau awal tahun 2025.

    iii. Rawang Perdana 5 (RP5)
    • Pangsapuri Rawang Putra (PRP) adalah kawasan perumahan yang mempunyai beberapa blok lima tingkat yang mendapat bekalan air dari sistem yang tidak sempurna.
    • Ini adalah disebabkan oleh sistem tangki dan sistem pengepaman yang tidak disiapkan oleh pihak pemaju yang telah menyebabkan masalah tekanan air rendah di PRP. Oleh itu, Kerajaan Negeri ingin menggesa pemaju terbabit untuk mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan permasalahan sistem tangki dan pengepaman tersebut dengan segera.
    • Untuk makluman, sistem bekalan air ke PRP telah disalurkan melalui sistem jajaran Kolam Air Kanching yang merangkumi kawasan-kawasan seperti berikut:

    o Bandar Baru Rawang
    o Bestari Templer
    o Bukit Takun Templer
    o Dolomite Templer
    o Flat Bukit Rawang Putra
    o Heritage Templer
    o Kampung Melayu Batu 16
    o Kampung Sungai Samak
    o Prima Ville
    o Pusat Bandar Rawang
    o Setia Eco Templer
    o Suasana Templer
    o Taman Desa Sri Bayu
    o Taman Kanching Jaya
    o Taman Mawar
    o Taman Rawang Perdana
    o Taman Rawang Perdana (Jalan Rp 10 – 11)
    o Taman Rawang Perdana (Jalan Rp 7)
    o Taman Setia
    o Taman Setia Jaya
    o Taman Tun Perak
    o Taman Tun Teja
    o Templer Height
    o Templer Height (Jalan 4)
    o Templer Saujana
    o The Reef 2
    o The Reef/Tesco
    o Villas Templer

    • Walau bagaimanapun, pihak Air Selangor sedang mengkaji cadangan untuk pengaktifan semula satu kolam sedut terbengkalai iaitu Kolam Sedut Taman Rawang Perdana A melalui program rehabilitasi kolam. Kolam Sedut Taman Rawang Perdana A telah berstatus rizab bekalan air dan telah diserah milik kepada Air Selangor serta dicadangkan untuk penambahbaikan menjadi kolam agihan untuk PRP yang dijangkakan akan dilaksanakan pada 2026.

Lampiran

Tiada Lampiran.