Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
341) PERKHIDMATAN BAS SMART SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan statitik penggunaan Bas Smart Selangor di DUN Kuang, jumlah laluan, bilangan bas dan anggaran penumpang. Dan adakah pihak kerajaan negeri bersetuju untuk menambah kekerapan masa bilangan bas atau menukar laluan mengikut keperluan dari semasa ke semasa?
Untuk makluman, terdapat satu laluan Bas Smart Selangor yang melalui kawasan di DUN Kuang iaitu Laluan MPS3, di mana laluan tersebut disokong oleh pengoperasian dua (2) unit Bas Smart Selangor dan jumlah pengguna yang menggunakan Perkhidmatan Bas Smart Selangor laluan tersebut pada tahun 2024 adalah 60,611 orang penumpang.
Pihak MPS juga telah melaksanakan kajian pada 21 November 2024 yang lalu, bertujuan untuk kerja-kerja pengumpulan data kajian bersama bagi penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam tahun 2025 di dalam kawasan pentadbiran MPS melalui Bengkel Pemantapan Prestasi “Focus Group Disscussion”. Melalui sesi tersebut, MPS telah menerima maklumbalas daripada wakil-wakil yang dihadiri oleh Jawatankuasa Penduduk, Ahli Majlis kawasan, Agensi Pengangkutan, UPEN Negeri Selangor, Parlimen serta ADUN. Antara cadangan yang diterima adalah penambahan pengangkutan awam jenis kenderaan yang lebih kecil jenis van supaya dapat merangkumi setiap akses-akses perkhidmatan awam pada setiap kawasan perumahan termasuk kampung-kampung dan pusat tumpuan awam, yang lebih mesra pengguna. Hasil daripada FGD tersebut MPS bersetuju untuk mengekalkan perkhidmatan dan pengoperasian Bas Smart Selangor tanpa penambahan jumlah bas atau laluan.
Walau bagaimanapun, pihak MPS akan sentiasa melaksanakan pemantauan dan kajian dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan pengguna adalah dipenuhi dalam penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam dan Kerajaan Negeri adalah terbuka untuk mempertimbangkan cadangan penambahan laluan, kekerapan jadual pergerakan serta jumlah bas tertakluk kepada keperluan semasa dan peruntukan yang disediakan bagi tujuan penyediaan perkhidmatan.
-
Penggunaan aplikasi yang sedia ada untuk menaiki bas Smart Selangor menyukarkan golongan warga emas dan pengguna yang tidak memiliki telefon pintar. Bolehkah pihak kerajaan negeri menukarkan kepada sistem yang lebih mesra pengguna seperti pendaftaran melalui kad pengenalan, dimana pengguna hanya perlu menyentuh kad pengenalan mereka di mesin yang disediakan atau berikan solusi berkenaan isu ini?
Penggunaan Scan To Ride (STR) untuk menaiki bas Smart Selangor telah bermula sejak 15 March 2021 yang lalu melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (“MMKN”) Bil 1 / 2021 bertarikh 13 Januari 2021. Melalui pelaksanaan STR, kerajaan negeri telah memperkenalkan kaedah imbasan kod QR dimana pengguna perlu membuat imbasan kod QR semasa menaiki Bas Smart Selangor di mana warga asing akan dikenakan kadar tambang RM0.90 bagi setiap kali menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang dikenalpasti melalui imbasan kod QR tersebut.
Kerajaan Negeri juga maklum tentang kesukaran yang dialami dengan penggunaan sistem aplikasi terutama bagi golongan yang tidak memiliki telefon pintar seperti seperti golongan warga emas dan pelajar sekolah dan terbuka untuk menerima cadangan serta alternatif yang boleh dilaksanakan untuk memudahkan pengguna pengangkutan awam negeri. Untuk makluman, pihak Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) juga kini sedang mengkaji dan melaksanakan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkenalkan teknologi yang lebih bersesuaian dan mesra pengguna, yang boleh digunakan dengan lebih meluas oleh semua golongan pengguna.