Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
203) PERKHIDMATAN BAS SELANGORKU
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan secara terperinci perbelanjaan bagi melaksanakan perkhidmatan Bas SelangorKu?
Inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di Lembah Klang yang dikenali sebagai Bas Selangorku telah diperuntukkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Awam Selangor. Perkhidmatan Bas Selangorku fasa pertama berjaya dilancarkan dan dilaksanakan di tiga kawasan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada ketiga-tiga PBT yang terlibat adalah berjumlah RM3,481,676.00. Pecahan peruntukan mengikut PBT adalah seperti Jadual 1. Jumlah keseluruhan kos yang disalurkan adalah merangkumi kos sewaan bas, rekabentuk wrapping dan cukai GST.
Jadual 1:Pecahan Peruntukan Bas Selangorku Mengikut PBT
PBT LALUAN JUMLAH BAS KOS MBSA 1 4 RM1,266,064.00 MPSJ 1 4 RM1,266,064.00 MPK 1 3 RM949,548.00 -
Senaraikan PBT yang telah melaksanakan perkhidmatan Bas SelangorKu dan jumlah bas yang digunakan?
Sama seperti di SUB(a)
-
Adakah perkhidmatan Bas SelangorKu termasuk dalam perancangan Pelan Induk Pengangkutan Awam yang diwar-warkan Kerajaan Negeri?
Program bas percuma ‘Bas Selangorku’ merupakan program yang diinisiatifkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat khususnya kepada masyarakat yang berpendapatan sederhana rendah seperti warga industri, pelajar, kakitangan kerajaan dan mereka yang memerlukan perkhidmatan bas ini untuk urusan harian. Program ini secara spesifiknya tidak termasuk dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam yang sedang dijalankan. Walau bagaimanapun, strategi penggunaan konsep bas percuma seperti Bas Selangorku boleh dikembangkan dan digunakan sebagai salah satu cadangan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam bergantung kepada hala tuju pengangkutan awam Negeri Selangor selepas kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor disiapkan.
Secara umumnya, Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor merupakan dokumen asas ke arah perancangan pengangkutan awam yang mencukupi, kebolehsampaian, ketepatan masa, user friendly, selamat, strategi dan komprehensif. Apabila disiapkan kelak, kajian ini akan dapat menentukan hala tuju pengangkutan awam Negeri Selangor untuk :
- Mencapai sasaran nisbah pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian adalah 60:40;
- Menghasilkan Pelan Induk Pengangkutan Awam yang komprehensif meliputi pelan jaringan lebuhraya dan pengangkutan awam semasa dan masa hadapan untuk rujukan Kerajaan Negeri, Persekutuan, agensi terlibat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan penyelarasan pengurusan dan pelaksanaan yang lancer (seamless) di setiap peringkat;
- Mencadangkan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta agensi yang bertanggungjawab terutama bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam meliputi perkhidmatan LRT, MRT, BRT, feeder bus, perkhidmatan bas dan teksi;
- Mencadangkan dan mengintegrasikan jalan raya dan lebuhraya sedia ada dengan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang;
- Mencadangkan dan menggalakkan penggunaan kemudahan sokongan bagi lorong pejalan kaki, lorong berbasikal dan program car free di dalam kawasan bandar;
- Mencapai keseimbangan antara pembinaan lebuhraya dan penyediaan sistem pengangkutan awam melalui kajian yang telus dan terperinci; dan
- Menganalisis konsep Transit Oriented Development (TOD) bagi membolehkan pembangunan perumahan dan komersil di Lembah Klang diintegrasi dengan penyediaan infrastruktur pengangkutan awam.