Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

333) PERKHIDMATAN BAS SELANGOR PERCUMA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menambah laluan Perkhidmatan Bas Selangor Percuma?

    Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor sentiasa berusaha menambahbaik mutu dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa melaksanakan penelitian tahap perkhidmatan Bas Smart Selangor berdasarkan data penumpang yang diperolehi secara bulanan bagi mengenalpasti keperluan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk keperluan pertambahan laluan atau penambahan jumlah bas. Walau bagaimanapun, cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu memandangkan laluan Bas Smart Selangor dan laluan bas henti-henti yang lain telah ditetapkan oleh APAD mengikut zon masing-masing.

  2. Nyatakan laluan baru bagi Perkhidmatan Bas Selangor Percuma sepanjang 2020-2024 di DUN Semenyih.

    Untuk tempoh 2020 hingga 2024, Perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan DUN Semenyih tidak melibatkan penambahan laluan baharu. Perkhidmatan Bas Smart Selangor di DUN Semenyih adalah melibatkan laluan seperti berikut:

    • Laluan KJ01: Bandar Kajang – Kompleks Hentian Kajang (Mukim Kajang)
    • Laluan KJ02: Komuter Bangi – Bandar Bukit Mahkota (Mukim Kajang & Beranang)
    • Laluan KJ03: Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn – Taman Tun Perak (Mukim Cheras)
    • Laluan KJ04: Kompleks Hentian Kajang – Dataran Gemilang, Putrajaya (Mukim Kajang & Putrajaya)

     

  3. Adakah kerajaan mempunyai cadangan laluan baru Perkhidmatan Bas Selangor Percuma menghubungkan Semenyih ke stesen MRT berdekatan?

    Buat masa ini Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mempunyai perancangan untuk menambah laluan Bas Smart Selangor kerana pihak Rapid KL (T451) telah menyediakan perkhidmatan bas perantara MRT yang menghubungkan kawasan Semenyih ke stesen MRT Stadium Kajang.

Lampiran

Tiada Lampiran.