Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

122) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA DAN PEMASANGAN STESEN BAS DI LOKASI YANG SESUAI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Selangor akan menyediakan perkhidmatan bas percuma di MPAJ dalam tempoh masa 2 tahun?

    MPAJ telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi pembelian bas tersebut atas sebab kekangan peruntukan kewangan. Jumlah permohonan peruntukan yang dikemukakan oleh MPAJ kepada Kerajaan Negeri Selangor adalah RM 2 juta.

  2. Adakah Kerajaan Selangor bersedia untuk menyeragamkan struktur stesen bas di lokasi yang sesuai di seluruh Selangor?

    Pembinaan stesen bas di Negeri Selangor adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kebanyakan pembinaan stesen bas bagi kawasan pembangunan baru perlu disediakan oleh pihak pemaju. Manakala terdapat stesen bas yang dibina oleh PBT dengan menggunakan peruntukan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Namun begitu, Kerajaan Negeri memohon supaya pihak PBT perlu memastikan pembinaan stesen bas tersebut diseragamkan dari segi spesifikasi yang ditetapkan serta pemilihan lokasi yang tepat untuk menjamin rakyat mendapat manfaat.

  3. Berapakah bajet Selangor untuk perkhidmatan bas percuma?

    Dalam melaksanakan program perkhidmatan bas percuma, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan menjalankan kajian bagi mengenalpasti lokasi laluan serta kos operasi yang perlu dikeluarkan. Untuk perkhidmatan bas percuma yang telah dilaksanakan di Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, anggaran kos pelaburan hampir mencecah RM1 juta setahun melibatkan pembelian bas dan kos operasi yang perlu ditanggung. Impak dan maklumbalas positif yang diterima daripada pengguna perkhidmatan bas percuma tersebut mendapati terdapat pemintaan yang tinggi supaya Kerajaan Negeri menambahbaik perkhidmatan tersebut. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan sejumlah peruntukan di dalam bajet 2015 bagi tujuan penambahbaikan dan pembelian bas tambahan.

Lampiran

Tiada Lampiran.