Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
401) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah perkhidmatan bas percuma akan diteruskan dan ditambah baik?
Perkhidmatan bas percuma yang diperkenalkan melalui inisiatif Bas Smart Selangor sejak tahun 2015 akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan mesra rakyat. Inisiatif ini termasuklah peningkatan kekerapan bas, penambahan laluan baru melalui perkhidmatan Demand-Responsive Transit (DRT) dan penggunaan bas mesra alam untuk mengurangkan pelepasan karbon yang telah mula diperkenalkan di Shah Alam dan Petaling Jaya. Selain itu, usaha turut ditingkatkan untuk memastikan perkhidmatan ini sampai ke lebih banyak kawasan pinggir dan luar bandar bagi memastikan semua rakyat Selangor dapat menikmati manfaat pengangkutan awam yang selesa.
-
Adakah masa dan laluan boleh diubah untuk keperluan dan kebaikan untuk pelajar-pelajar sekolah pergi dan balik khususnya di DUN Morib?
Pada masa ini, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengubah masa dan laluan Bas Smart Selangor sedia ada kerana terdapat perkhidmatan bas yang sedang beroperasi oleh Syarikat Wawasan Sutera yang menghubungkan Tanjung Sepat – Banting. Selain itu, untuk sebarang perubahan laluan Bas Smart Selangor perlu mendapatkan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan laluan tersebut tidak bertindih dengan laluan bas komersial sedia ada.