Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
16 Mac 2020 - 17 Mac 2020
243) PERKHIDMATAN BAS PERCUMA
Tahun: 2020
Sesi: 1
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana keberkesanan atau manafaat kemudahan servis Bas Percuma Smart Selangor di lokasi yang telah disediakan?
Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri merupakan salah satu daripada 33 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang sentiasa mendapat sambutan dari pelbagai golongan masyarakat. Ini disebabkan oleh perkhidmatan bas yang diberikan secara percuma dengan laluan-laluan sosial yang sangat diperlukan serta kemudahan yang lengkap dan selesa.
Manfaat daripada pelaksanaan Bas Smart Selangor ini dapat dilihat dari aspek peningkatan kesalinghubungan dan jaringan di antara pengangkutan awam sedia ada seperti komuter, LRT, MRT dan BRT, dapat menghubungkan laluan-laluan sosial dengan laluan utama di sesetengah kawasan, dari luar bandar ke pusat bandar serta perkhidmatan bas yang melalui kemudahan awam yang penting seperti fasiliti kesihatan iaitu klinik dan hospital, sekolah, jabatan dan agensi kerajaan yang terdapat di sepanjang laluan Bas Smart Selangor. Di samping itu, perkhidmatan bas yang disediakan ini juga dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang digunakan untuk pengangkutan berbayar seperti teksi, bas sekolah dan sebagainya yang secara tidak langsung penjimatan tersebut dapat digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting. Ini kerana pengguna Bas Smart Selangor kebanyakannya terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat iaitu murid dan pelajar sekolah, penuntut kolej dan universiti, pekerja-pekerja swasta dan orang awam yang menggunakannya bagi urusan-urusan harian.
Dalam aspek keberkesanan pula, perkhidmatan bas ini memberikan impak terhadap penggunaannya yang dilihat semakin meningkat berdasarkan jumlah penggunaan perkhidmatan tersebut yang kini mencecah 46 juta penumpang (bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 31 Januari 2020). Selain itu, peningkatan penggunaan bas juga mampu mengurangkan kadar penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya.
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan statistik kepadatan trafik (Road Traffic Volume Malaysia-RTVM) tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya, kadar kepadatan trafik di Negeri Selangor pada tahun tersebut telah menurun sebanyak 14.12 peratus (14.12%). Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri yakin bahawa perkhidmatan Bas Smart Selangor turut menyumbang kepada penurunan kadar tersebut. Namun, masih terdapat permintaan-permintaan laluan baru mahupun pindaan laluan sedia ada yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan bagi mengisi keperluan jaringan pengangkutan awam dari semasa ke semasa yang mana pelaksanaanya tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.
-
Berapa bajet atau dana yang telah digunakan setakat ini?
Kos bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor yang bermula pada 1 Julai 2015 sehingga 31 Disember 2019 adalah sebanyak RM106 juta (RM106,114,843.84). Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM81 juta (RM81,126,757.84), manakala Pihak Berkuasa Tempatan yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula telah mengeluarkan kos sebanyak RM24 juta (RM24,988,086.00). Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri dijangka akan membelanjakan sebanyak RM29,837,410.00 bagi meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang kini mempunyai 43 laluan dengan 138 buah bas.
-
Bilakah pelaksanaan caj warga asing akan lakukan?
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sedang menjalankan sesi percubaan bagi Proof Of Concept (POC) untuk sistem yang akan digunapakai di dalam perkhidmatan Bas Smart Selangor sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengenakan caj kepada penumpang khususnya kepada warga asing. Kerajaan Negeri menjangkakan ianya dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.