Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
61) PERKEMBANGAN INDUSTRI SENI KREATIF-NASYID
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Industri nasyid tanah air pada satu masa pernah berkembang pesat, kumpulan nasyid seperti Raihan pernah menjelajah ke seluruh dunia, adakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai perancangan untuk menghidupkan kembali genre ini?
Kerajaan Negeri cakna mengenai perkembangan dan pembangunan industri seni dan kreatif dari pelbagai genre. Pelbagai program telah dilaksanakan untuk memperkasa dan menghidupkan industri kreatif seperti Pesta Rentak Selangor, Semarak Seni dan Budaya (SENADA) serta Asli Battle of The Band. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) turut memperkasa industri kreatif khususnya bagi genre nasyid melalui pelaksanaan aktiviti pertandingan acara nasyid secara tahunan di sekolah-sekolah agama JAIS di bawah program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) di peringkat negeri. Program KAMIL ini menghimpunkan beberapa acara seperti tilawah al-Quran, seni khat dan lain-lain lagi termasuklah pertandingan nasyid dengan penglibatan sekolah-sekolah di peringkat negeri. Antara objektif penganjuran program KAMIL adalah:
- Mengasah bakat murid di peringkat negeri & kebangsaan;
- Mengembangkan bakat dan potensi dalam kesenian Islam;
- Berdaya saing dalam kalangan murid di sekolah-sekolah agama JAIS;
- Meningkatkan minat dan usaha untuk menjadi murid yang serba boleh dan berketrampilan; dan
- Menyuburkan ukhuwah / silaturahim antara murid, guru dan para pegawai negeri.
Genre nasyid turut diperkasa kepada khalayak umum melalui pelaksanaan Konsert Kerohanian Aku & Dia yang telah diadakan bersempena Festival MOTAC D’Desa @ Selangor 2023 dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKN) dengan mengangkat genre kerohanian dan nasyid sebagai tema utama. Program ini telah dilaksanakan pada 6 Oktober 2023 di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dengan menampilkan peserta persembahan daripada pelbagai latarbelakang dan institusi, antaranya pelajar dan guru dari SMK Sungai Besar Sabak Bernam, SK Sungai Limau Sabak Bernam, SMK Methodist Klang, Fakulti Seni Kreatif Unversiti Malaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Artis Budaya JKKN Selangor dan artis-artis terkenal tempatan seperti Ijam Medicine, Zul Handy Black dan Ali XPDC.
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri di bawah portfolio Ekonomi Kreatif sedang dalam perancangan untuk memperkasakan Industri Kreatif Negeri Selangor yang akan memberi manfaat kepada usahawan industri kreatif seperti pereka fesyen, pemuzik, karyawan, seniman, juruanimasi dan sebagainya. Antara komponen yang akan diberi penekanan adalah seni budaya yang turut merangkumi Industri Nasyid. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan Simposium Industri Kreatif seterusnya menyediakan satu Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Kreatif bagi mencapai matlamat industri kreatif yang berdaya saing dan berdaya maju di peringkat domestik dan antarabangsa.