Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
64) PERKEMBANGAN INDUSTRI KREATIF
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk merancakkan perkembangan industri kreatif di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri cakna mengenai perkembangan dan pembangunan industri seni dan kreatif dari pelbagai genre. Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi memperkasa dan membangunkan industri kreatif, antaranya melalui penganjuran Program Jelajah Rentak Selangor yang telah dijalankan secara tahunan sejak tahun 2015. Program ini merupakan program jelajah yang disertai oleh pengamal-pengamal media dan pempengaruh dari pelbagai platform media merangkumi daerah-daerah di Negeri Selangor untuk merakam, mendokumentasi, dan mempromosikan pelbagai kumpulan kesenian dan kebudayaan dari pelbagai latarbelakang untuk liputan dan pendedahan kepada warga umum dari dalam dan luar negara. Selain daripada Program Jelajah Rentak Selangor, program ini turut dikembangkan kepada Pesta Rentak Selangor, iaitu persembahan kesenian pentas berskala konsert yang dilaksanakan dengan menampilkan pelbagai persembahan yang bukan sahaja kaya dengan keunikan kebudayaan, malah turut disertai oleh pemain dan penggiat seni ternama bagi menyokong industri seni tempatan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Selangor (PEMADAM) bagi penganjuran Asli Battle of The Band untuk masyarakat orang asli di Negeri Selangor. Program yang sedang berlangsung ini memberi peluang kepada masyarakat orang asli untuk mengetengahkan bakat mereka dalam industri seni kreatif. Melalui pertandingan ini, pemenang utama akan diberikan peluang tajaan rakaman lagu baru sebagai salah satu inisiatif memperkembang bakat masyarakat orang asli dalam industri seni tempatan. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) turut menganjurkan program Semarak Seni dan Budaya (SENADA) yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu minggu ke-2 dan ke-4 setiap bulan dengan membawakan pelbagai topik kebudayaan dan pengisian persembahan kebudayaan. Program SENADA ini memberi pendedahan berkenaan adat, warisan, seni dan kebudayaan dalam pelbagai aspek termasuk industri kreatif. Melalui program ini, pelbagai topik perbincangan dikupas untuk memberi pendedahan kepada masyarakat seperti topik proses dan asas dalam penciptaan lagu.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) turut memperkasa industri kreatif khususnya bagi genre nasyid melalui pelaksanaan aktiviti pertandingan acara nasyid secara tahunan di sekolah-sekolah agama JAIS di bawah program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) di peringkat negeri. Program KAMIL ini menghimpunkan beberapa acara seperti tilawah al-Quran, seni khat dan lain-lain lagi termasuklah pertandingan nasyid dengan penglibatan sekolah-sekolah di peringkat negeri. Antara objektif penganjuran program KAMIL adalah: –
- Mengasah bakat murid di peringkat negeri & kebangsaan;
- Mengembangkan bakat dan potensi dalam kesenian Islam;
- Berdaya saing dalam kalangan murid di sekolah-sekolah agama JAIS;
- Meningkatkan minat dan usaha untuk menjadi murid yang serba boleh dan berketrampilan; dan
- Menyuburkan ukhuwah / silaturahim antara murid, guru dan para pegawai negeri.
Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan program-program seumpama ini dengan kerjasama strategik bersama agensi-agensi yang berkaitan seperti JKKN Selangor, MOTAC, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, dan NGO-NGO berkaitan.
-
Jika ada, nyatakan perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan perkembangan industri kreatif dengan membangunkan institusi, prasarana dan sokongan kewangan dalam bentuk insentif, dana dan pelaburan.
Dalam usaha menyokong pelaksanaan program-program seni kreatif dan pentas, jabatan serta agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor sentiasa terbuka bagi kerjasama penganjuran dan penggunaan kemudahan prasarana seperti dewan serbaguna, auditorium dan teater. Antara prasarana yang terdapat di sekitar Selangor termasuklah Dewan Sivik MBPJ, Dewan Sivik MBSA, Bangunan Teater Shah Alam, Auditorium Bangunan Jubli Perak Shah Alam dan banyak lagi. Seterusnya, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan terbuka untuk mempertimbangkan permohonan daripada mana-mana agensi bagi penganjuran bersama program-program kebudayaan termasuklah berkait pembangunan industri seni dan kreatif di Negeri Selangor. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri di bawah portfolio Ekonomi Kreatif sedang dalam perancangan untuk memperkasakan Industri Kreatif Negeri Selangor yang akan memberi manfaat kepada usahawan industri kreatif seperti pereka fesyen, pemuzik, karyawan, seniman, juruanimasi dan sebagainya. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan Simposium Industri Kreatif seterusnya menyediakan satu Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Kreatif bagi mencapai matlamat industri kreatif yang berdaya saing dan berdaya maju di peringkat domestik dan antarabangsa.