Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
259) PERKEMBANGAN HALAL DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pensijilan halal dikalangan peniaga dan pengusaha makanan di Selangor?
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pensijilan halal dalam kalangan peniaga dan pengusaha makanan di Selangor antaranya adalah seperti berikut :
- Turun padang bagi memberi pemahaman kepada usahawan dan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti seperti penganjuran Selangor International Halal Convention (SELHAC), forum Halal, penglibatan dalam ekspo-ekspo halal lain sama ada di dalam negara atau luar negara, turut serta dalam program kerajaan bersama rakyat seperti Jelajah Selangor Penyayang untuk menyediakan platform kepada masyarakat bertanya berkaitan persijilan halal.
- Menggunakan medium media sosial Halal International Selangor (HIS) supaya masyarakat dapat mengetahui perkembangan industri halal di Negeri Selangor.
- Mengadakan perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha restoran dan pengusaha makanan, kosmetik dan farmaseutikal dari masa ke masa secara terus berkenaan kepentingan mempunyai persijilan halal dalam perniagaan.
- Menganjurkan latihan-latihan kesedaran dan kompetensi halal seperti Sistem Kawalan Halal Dalaman (IHCS) untuk pengusaha-usaha kecil dan mikro dan Sistem Jaminan Halal (HAS) untuk pengusaha-pengusaha sederhana dan besar.
- Menganjurkan khidmat bimbingan bagi pengusaha-pengusaha untuk mendapatkan persijilan halal.
- Meluluskan geran kerajaan sebanyak RM2,000 untuk setiap peserta melalui program Halal Suri, selain dapat membantu wanita golongan B40 yang layak dan terpilih meningkat pendapatan melalui perniagaan di rumah. Secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan permintaan kepada produk makanan halal sejuk beku yang dikeluarkan oleh pengusaha halal di negeri Selangor.
-
Nyatakan strategi serta langkah yang diambil bagi memajukan industri halal di Selangor.
Manakala strategi serta langkah bagi memajukan industri halal di Negeri Selangor adalah seperti berikut :
- Mengembangkan industri halal kepada semua sektor yang bersesuaian dengan cara yang kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos rendah, melalui rangkaian kerjasama pelbagai pihak.
- Menggiatkan usaha pembangunan kapasiti halal bertujuan meningkatkan pemahaman berkaitan halal dalam kalangan rakyat, kemahiran (kompetensi) berkaitan halal dalam kalangan industri dan khidmat bimbingan persijilan halal.
- Menyediakan platform dan infrastruktur yang bersesuaian bagi pembangunan industri halal di Negeri Selangor.
- Menyediakan platform bagi memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha halal memperkenalkan produk mereka di dalam dan di luar negara melalui program seperti padanan perniagaan, penyertaan di ekspo halal anjuran kerajaan Negeri Selangor seperti SELHAC dan Pavilion Selangor serta “pitching” produk halal buatan Selangor yang boleh dieskport ke luar negara.