Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
215) PERJANJIAN PERDAGANGAN BEBAS ÔFREE TRADE AGREEMENTÕ
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kini Kerajaan Persekutuan sedang giat mengadakan rundingan dengan Amerika melalui rundingan Trans Pacific Partnership ( TPP) /FTA dengan Malaysia . Pada masa yang sama juga Kesatuan Eropah ( European Union) juga mengadakan rundingan dua hala dengan Malaysia dengan harapan menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam masa terdekat. Pernahkan Kerajaan Negeri Selangor dijemput oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI ) untuk memberikan pandangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas( FTA) ini ?
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih di dalam proses rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Trans Pacific Partnership (TPP) dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (European Union). Di dalam pelaksanaan proses rundingan tersebut, pihak MITI telah menjemput persatuan – persatuan industri dari pelbagai sektor ekonomi berkepentingan menyertai sesi konsultasi tersebut bagi mendapatkan pandangan yang lebih tepat dan relevan terutama melibatkan syarat-syarat dan terma yang harus dimasukkan demi menjaga kepentingan pemain – pemain industri tempatan. Sehingga sekarang, pihak MITI belum memanggil mana – mana Kerajaan Negeri termasuk Selangor untuk memberikan pandangan berhubung FTA kerana ia masih di dalam proses penyediaan dan rundingan antara negara – negara terlibat.
-
Adalah difahami bahawa , walaupun perjanjian ini ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan tetapi ianya mempunyai implikasi kepada Kerajaan Negeri mahupun ke tahap Kerajaan Tempatan . Adakah Kerajaan Negeri Selangor membuat apa jua kajian mengenai implikasi FTA dan kajian Ôcost benefit analysisÕ kepada Kerajaan Negeri
Di dalam memastikan Kerajaan Negeri mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang masih di peringkat perundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, baru – baru ini EXCO Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan telah mengambil inisiatif dengan menjemput dan mendapatkan pandangan dari pakar – pakar ekonomi dari Third World Network yang merupakan sebuah Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) berpusat di Switzerland berhubung isu FTA tersebut. Di dalam taklimat tersebut telah dinyatakan berhubung kebaikan dan keburukan yang bakal dinikmati dan ditanggung Malaysia dan negeri – negeri termasuk Selangor sekiranya perjanjian perdagangan bebas tersebut dilaksanakan. Antaranya implikasi FTA kepada Kerajaan Negeri adalah dari segi ownership of land , pelaburan dan kesan langsung dan tidak langsung kepada Kerajaan Negeri, kepentingan anak- anak syarikat Kerajaan Negeri dalam bersaing dengan syarikat – syarikat asing, prosedur tender terbuka yang mungkin terpaksa dikaji semula, serta eksploitasi atau rampasan cukai syarikat – syarikat luar kepada hasil negeri Selangor.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menangani kesan Ðkesan pembukaan pasaran dan pengurangan tarif import akibat perjanjian perdagangan bebas ini (FTA) ?
Memandangkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini masih di peringkat perbincangan dan kajian lanjut Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor boleh memainkan peranan memaklumkan kepada rakyat berhubung situasi menang – menang (win – win situation) yang akan dihadapi rakyat, pemain industri dan syarikat – syarikat tempatan secara amnya. Pengurangan tarif import yang mungkin akan dilaksanakan kelak adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, tetapi Kerajaan Negeri seharusnya memaklumkan tentang kelebihannya kepada industri tempatan dan bukan menjadikan ia sebagai satu bebanan. Sekiranya Kerajaan Negeri berjaya memberikan sebaran maklumat dengan tepat dan jelas, nescaya industri dan syarikat tempatan di negeri Selangor akan memperoleh manfaat dari FTA yang bakal dilaksanakan kelak