Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
189) PERINCIAN PERKHIDMATAN MASYARAKAT
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan perincian perkhidmatan masyarakat yang diumumkan dalam Bajet 2017 bernilai RM65 juta
Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan perkhidmatan masyarakat berjumlah RM63.44 juta dan perincian perbelanjaan adalah bagi tujuan seperti berikut:
- Sebanyak RM1,100,000.00 kepada 12 Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerajaan merangkap Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM13.2 juta;
- sebanyak RM800,000.00 kepada 31 Ahli Dewan Negeri Kerajaan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM24.8 juta;
- sebanyak RM600,000.00 pula kepada 13 Pegawai Penyelaras DUN yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM7.8 juta;
- sebanyak RM200,000.00 kepada 13 Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM2.6 juta;
- sebanyak RM150,000.00 kepada dua (2) Ahli Dewan Negara Negeri Selangor melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM300,000.00;
- sebanyak RM300,000.00 kepada 17 Ahli Parlimen Negeri Selangor melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM5.1 juta;
- sebanyak RM300,000.00 kepada lima (5) Pegawai Penyelaras Parlimen Negeri Selangor melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM1,500,000.00; dan
- sebanyak RM10,000.00 kepada 494 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tradisi, Kampung Baru dan Ketua Komuniti India melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM4,940,000.00.
Peruntukan tersebut telah disalurkan kepada semua Pejabat Daerah dan penggunaan peruntukan adalah selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor yang sedang berkuat kuasa.
-
Apakah impak dan hala tuju seterusnya perkhidmatan ini?
Peruntukan perkhidmatan ini disediakan kepada wakil rakyat dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang digalas untuk membantu rakyat di pelbagai peringkat. Dalam hal ini, tujuan peruntukan ini telah memberi impak yang besar kepada rakyat khususnya dalam aspek sosial dan ekonomi melalui pelaksanaan program bantuan, projek pembangunan kecil dan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.
Dalam hal ini, dalam meneruskan dan mengimarahkan kebajikan dan menjaga kemaslahatan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor relevan untuk mengekalkan peruntukan ini dalam belanjawan negeri dan kepelbagaian peringkat pimpinan masyarakat ini akan terus mendukung aspirasi negeri sebagai negeri maju, sejahtera dan berkebajikan dengan penuh integriti dan perbelanjaan peruntukan yang optimum.
-
Sejauhmanakah Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan peruntukan ini?
Penggunaan peruntukan ini juga dipantau oleh Kerajaan Negeri melalui Perbendaharaan Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Daerah selaku pegawai pengawal dengan mematuhi peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
Dalam hal ini, Pejabat Daerah perlu mengemukakan laporan prestasi bulanan perbelanjaan tersebut kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi tujuan pemantauan perbelanjaan.