Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

9) PERHUTANAN NEGERI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri bagi memelihara kelestarian hutan simpan
    di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor adalah sentiasa komited untuk memelihara kelestarian Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor. Komitmen utama Kerajaan Negeri Selangor pada ketika ini adalah mengekalkan dan meningkatkan keluasan HSK sebanyak tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan keputusan MMKN Ke-33/2008 bertarikh 19 November 2008 dan keputusan MMKN Ke-45/2014 bertarikh 19 November 2014. Malahan, beberapa usaha sedang dilaksanakan bagi menambah keluasan HSK di negeri Selangor dengan mengenalpasti dan mewartakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dijadikan HSK.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor telah dan sedang melaksanakan beberapa usaha ke arah melestarikan sumber hutan di negeri. Di antaranya adalah seperti berikut:

    1. Memperkenalkan Dasar Moratorium Ke Atas Pembalakan selama tempoh 25 tahun melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan Tanah Kerajaan sejak tahun 2010. Justeru, tiada sebarang aktiviti pembangunan yang boleh dipertimbangkan melainkan ianya telah dikaji dan mempunyai kepentingan awam seperti bekalan elektrik, jalanraya, bekalan air dan sebagainya;
    2. Menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada A23 berdasarkan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011 dengan memasukkan proviso “semua pengeluaran Hutan Simpanan Kekal perlu melalui Kaedah Penyiasatan Awam seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri”. Di samping itu juga, proses penyahwartaan dan penggantian rizab hutan perlu dilakukan secara serentak dan mengikut panduan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985;
    3. Melulus dan mewartakan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 di dalam Warta Kerajaan di bawah Kaedah-kaedah Negeri Selangor dan telah disiar warta pada 30 Januari 2014. Bagi memperkemaskan dan memperkasa Kaedah ini, Kerajaan Negeri juga telah mengambil tindakan yang proaktif dengan meluluskan pindaan Kaedah Penyiasatan Awam dalam MMKN Ke-26/2020 pada 22 Julai 2020. Antara pindaan yang dibuat adalah menambah bilangan ahli Jawatankuasa Penyiasatan Awam bagi mendapatkan pandangan teknikal yang lebih komprehensif. Sebagai makluman, negeri Selangor adalah merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia yang telah menguatkuasakan Kaedah Penyiasatan Awam sebagai syarat di dalam proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK);
    4. Memperoleh dan mengekalkan pensijilan pengurusan hutan di bawah Standard Kriteria dan Petunjuk (Malaysia and Indicators, MC&I) Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management, SFM). Dalam konteks ini, pengurusan hutan yang diamalkan sentiasa diaudit oleh Badan Pengauditan Antarabangsa seperti SIRIM QAS Sdn. Bhd. Sehingga kini, sijil pengurusan hutan di bawah Standard MC&I (SFM) ini masih dikekalkan tanpa sebarang penemuan ketidakpatuhan (CARs) selama 9 tahun berturut-turut sejak 2012;
    5. Menyokong segala dasar dan ketetapan di peringkat persekutuan dan antabangsa. Antaranya adalah seperti inisiatif Program Penghijauan Malaysia yang telah dilancarkan melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025. Pelancaran program ini juga telah berlangsung di negeri Selangor pada 4 Januari 2021 yang lalu;
    6. Mengambil maklum dan menyambut baik ke atas pelaksanaan Kajian Semula Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) pada masa kini. Dalam hubungan ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah berjaya menyediakan Rancangan Pengurusan Central Forest Spine (CFS) Negeri Selangor bagi tempoh 2020-2029. Penyediaan Rancangan Pengurusan CFS ini adalah menyokong pelaksanaan Pelan Induk Central Forest Spine dan Rancangan Fizikal Negara (RFN). Pada masa kini, negeri Selangor hanya terlibat dengan salah satu koridor Secondary Linkages (SL) sahaja iaitu BSL1: HS Raja Musa – HS Bukit Tarek – HS Gading; dan
    7. Memberi sokongan penuh ke atas usaha memperkasa hutan melalui aktiviti-aktiviti penguatkuasaan. Tumpuan utama diberikan ke atas kawasan-kawasan penerokaan haram yang berlaku di dalam HSK. Pada tahun 2020, sebanyak 47 kes kesalahan hutan telah direkodkan dan RM183,100.00 kompaun telah dikenakan. Elemen penguatkuasan hutan amat penting dalam mencegah kehilangan hasil negeri yang amat bernilai tinggi. Penguatkuasaan hutan di Selangor merangkumi aktiviti pemantauan hutan di darat, air dan udara. Justeru, ia turut dilaksanakan melalui kerjasama secara bersepadu melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti APMM, PDRM, BOMBA dan lain-lain termasuklah komuniti yang prihatin.

    Melalui usaha dan inisiatif ini, jelas menunjukkan komitmen dan keprihatinan yang amat tinggi telah dizahirkan dalam usaha memelihara kelestarian hutan simpanan kekal (HSK) di Selangor. Tanggungjawab dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam memastikan segala pelaksanaan usaha dan inisiatif ini memberi impak pencapaian yang cemerlang.

  2. Nyatakan keluasan hutan simpan di Selangor setakat ini.

    Sehingga kini, kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah diwartakan di negeri Selangor adalah berjumlah ±250,207.39 ha. Ini adalah bersamaan dengan 31.47% daripada keluasan tanah negeri.

  3. Nyatakan lokasi hutan Simpan yang terdapat di Negeri Selangor.

    Senarai lokasi bagi keseluruhan HSK yang telah diwartakan di negeri Selangor adalah seperti di Lampiran I.

Lampiran

Tiada Lampiran.