Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
13) PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perindustrian
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk meningkatkan sektor perdagangan dan industri di Selangor?
Secara umum, perancangan dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan sektor perdagangan dan industri di Selangor adalah terangkum dari aspek penyediaan polisi seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1), pelan pembangunan wilayah baharu seperti IDRISS serta program tahunan berskala besar seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).
Selain itu, Kerajaan Negeri juga giat menjalankan program promosi penggalakan pelaburan dengan pertemuan secara fizikal mahupun virtual dengan pihak dewan-dewan perniagaan serta pelabur – pelabur yang berpotensi di dalam dan luar negara termasuk misi-misi pelaburan yang akan terus diatur dan dilaksanakan.
Industri tumpuan yang akan terus diberi penekanan adalah seperti Sains Hayat, Pembuatan Makanan dan Minuman (F&B), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik, Kelengkapan Pengangkutan seperti industri Aeroangkasa dan Dron serta Mesin dan Peralatan.
Bagi sektor perkhidmatan pula, Kerajaan telah mengenal pasti sektor yang berpotensi untuk berkembang di Selangor antaranya industri Perkhidmatan Logistik dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.
Pelbagai inisiatif lain untuk menggalakkan pelaburan di Selangor adalah seperti Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program, iaitu satu program untuk membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan.
Bagi sektor pembangunan Sains Hayat pula, program ’Selangor Lab Partnership’ diperkenalkan untuk merapatkan jurang antara pihak institusi pendidikan dan industri supaya penyelidikan-penyelidikan dapat diusahakan secara kolaborasi yang lebih jitu dan produk-produk dapat mencapai keberhasilan untuk dipasarkan.
-
Apakah inisiatif yang akan dilaksanakan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang?
Antara inisiatif – inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang adalah seperti berikut;-
- Penganjuran program – program pameran seperti Selangor Internasional Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).
- Mempergiatkan aktiviti promosi pelaburan ke luar negara bagi mempromosikan peluang – peluang pelaburan dan perniagaan disamping membawa syarikat – syarikat dari Selangor yang berpotensi untuk ditemukan dengan syarikat dari luar negara.
- Mengadakan program – program expo dan pameran bagi usahawan Selangor untuk memperkenalkan mereka disamping memberi peluang kepada usahawan yang terlibat bagi meneroka dan memperluaskan pasaran produk keluaran tempatan ke pasaran antarabangsa.
- Mengadakan program SIE (F&B) Supermarket Buyers Program dengan mewujudkan kerjasama strategik bersama beberapa pasaraya – pasaraya besar dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS). Program ini adalah satu inisiatif Invest Selangor untuk memperkenal dan menyenaraikan usahawan-usahawan terpilih yang menyertai pameran Selangor International Expo (F&B) ke dalam rantaian pembekal pasaraya-pasaraya yang terlibat. Usahawan berkenaan akan diberikan insentif bayaran fi pendaftaran pembekal, fi penyenaraian produk serta ruang promosi di kawasan pasaraya berkenaan secara one-off.
- Menyediakan latihan digital kepada usahawan Selangor yang berminat untuk mempelopori perniagaan secara online seperti program Selangor E-Commerce Accelerator Program (ECX). Program ini memberi penekanan kepada program latihan dan bimbingan kepada usahawan IKS dalam membantu pengembangan perniagaan secara atas talian (online) dan secara lansung dapat memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor khususnya.
- Melaksanakan Selangor Accelerator Programme (SAP) bertujuan untuk memupuk IKS daripada syarikat pemula (startup) dengan model perniagaan yang berdaya maju serta produk yang sedia untuk dipasarkan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri akan memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi?
Dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Kerajaan Negeri telah merangka dan melaksanakan beberapa strategi seperti;-
- Perlaksanaan inisiatif – inisiatif dibawah Rancangan Selangor Pertama (RS1) yang merupakan rancangan pembangunan secara komprehensif dan menjadi hala tuju strategik negeri Selangor.
- Penyediaan kemudahan infra dan digital secara menyeluruh di Selangor dalam menyediakan kemudahan infra dan perkhidmatan sokongan perniagaan.
- Membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pelabur menerusi Mesyuarat Penyelarasan Projek yang diadakan setiap bulan dan dipengerusikan oleh YB EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor.
- Menganjurkan program – program pameran dan expo serta program latihan bagi membantu usahawan memperkembangkan pasaran ke peringkat global.
- Memperkenalkan pembangunan kawasan perindustrian yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) dimana melalui konsep ini dapat menangani isu – isu penyelenggaraan kawasan perindustrian yang sering dibangkitkan oleh pihak pelabur.
- Mewujudkan agensi khusus seperti Invest Selangor yang berperanan membantu para pelabur selaku penyelaras untuk mendapatkan kelulusan pembangunan yang diperlukan dan lain – lain isu yang berbangkit.
- Menyediakan Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program dimana penyediaan Ruang Kerja Bersama (Coworking Area) / Ruang Pejabat (Co-working Office) bagi bakal pelabur samada dari dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melaksanakan tinjauan awal perancangan pelaburan di Negeri Selangor. Insentif ini disediakan untuk menyediakan platform yang holistik dan memberikan sokongan penuh bagi pelabur yang berpotensi agar dapat menerokai ekosistem pelaburan di Selangor. Selain itu, melalui insentif ini juga dapat memupuk penglibatan komuniti industri sedia ada dalam proses menarik pelaburan baru ke kawasan dan kumpulan sektor yang dikenalpasti. Kemudahan yang disediakan untuk para pelabur ini berperanan sebagai pemudahcara dan secara langsung dapat membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan. Insentif ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos awalan kepada pelabur baru yang berpotensi, di mana lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis dan kajian yang berkaitan semasa menerokai ekosistem pelaburan di Selangor.
Perlaksanaan Selangor Lab Partnership Program yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu pemain industri untuk memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik, serta menggalakkan kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan tempatan dan pemain industri. Melalui inisiatif ini, ianya dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi merapatkan hubungan dan kerjasama antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Selangor.