Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
157) PERBELANJAAN TAMBAHAN
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan bercadang untuk membentangkan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun ini di Dewan Negeri?
Adalah dimaklumkan bahawa pertimbangan mengadakan bajet tambahan oleh
kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada keperluan dengan terlebih dahulu
membuat keutamaan semula bajet sedia ada, mencari penjimatan sedia ada
daripada program-program yang telah dibajetkan, mengkaji kedudukan jumlah hasil
kerajaan semasa iaitu sama ada masih mampu menanggung tambahan
perbelanjaan baru atau adakah kerajaan perlu membuat pinjaman dalam membiayai
keperluan tambahan tersebut.
Kedudukan semasa kewangan negeri sekiranya berada dalam kedudukan defisit
perlu diambil kira memandangkan ianya akan melebarkan lagi defisit kewangan
kerajaan. Sehubungan dengan itu sama ada Kerajaan bercadang untuk
membentangkan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun ini akan dibuat
berdasarkan pertimbangan yang dinyatakan di atas. -
Mengapakah kerajaan tidak membuat perancangan awal seberapa teliti yang mungkin dalam belanjawan kerajaan negeri supaya tidak perlu dibentangkan perbelanjaan tambahan?
Untuk makluman, belanjawan Kerajaan Negeri yang dibuat pada masa ini adalah
belanjawan seimbang iaitu anggaran perbelanjaan adalah bersamaan dengan
jangkaan hasil yang diterima. Oleh itu perancangan awal yang dibuat adalah
berdasarkan kepada anggaran perbelanjaan dan jumlah jangkaan hasil yang
diterima.
Kerajaan Negeri telah membuat bajet tambahan pada tahun 2009 memandangkan
terdapat program-program baru yang dilaksanakan iaitu program Merakyatkan
Ekonomi Selangor yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun ini. Walau
bagaimana pun Kerajaan Negeri akan mengawal perbelanjaan ini dan sebarang
perlaksanaan program tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa keperluan
yang mendesak. Dengan itu Kerajaan Negeri perlulah berhemah dan merancang
perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada projek atau program yang
penting dan mempunyai impak kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Untuk makluman, keutamaan bagi mengadakan bajet tambahan adalah dengan
mengutamakan tambahan bajet bagi perbelanjaan locked–in iaitu satu perbelanjaan
yang mesti diberikan seperti emolumen, sewaan, biasiswa dan lain-lain.
Perbelanjaan tambahan juga perlu dibuat jika terdapat keputusan dasar oleh
Kerajaan negeri ke atas program atau aktiviti yang tidak dibajetkan atau tidak
disediakan peruntukan yang mencukupi pada tahun semasa.