Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
168) PERBELANJAAN MENENTANG COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan secara terperinci segala perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi mengekang wabak COVID-19 pada tahun 2021.
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Batang Kali (N07) No.141 (a), Selat Klang (N44) No.150(a) dan Hulu Bernam (N05) No.187 (a). Dalam memerangi pandemik Covid-19, Kerajaan Negeri sentiasa mengikut garis panduan seperti yang telah ditetapkan oleh World Health Organization (WHO). Ini termasuklah saranan strategi FTTIS iaitu Find, Test, Trace, Isolate and Support melalui pelaksanaan saringan komuniti bersasar. Walaupun saringan ini akan menyebabkan kadar kes harian akan meningkat, namun ia merupakan satu langkah yang membolehkan Kerajaan Negeri mengenalpasti individu yang didapati positif COVID-19 namun tidak menunjukkan sebarang gejala. Susulan itu, individu tersebut akan menjalani kuarantin kendiri dan seterusnya dapat mengelakkan penularan COVID-19 ke dalam komuniti setempat.
Bermula pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Ujian Saringan COVID-19 secara berperingkat iaitu Fasa 1,2, dan 3. Bagi tahun 2021, sebanyak RM16,695,000.00 telah diperuntukkan bagi tujuan saringan komuniti. Peruntukkan ini termasuk perbelanjaan bagi pembangunan sistem SELANGKAH dan pengurusan program Prevention of Outbreak At Ignition Sites (POIS).
Bagi tujuan meningkatkan tahap kesedaran orang awam berkaitan kepentingan pengurusan COVID-19 dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Sukaralewan Komuniti Sihat Selangor (SUKA) bagi tujuan ini. SUKA juga akan berperanan dalam menyampaikan advokasi berkaitan kesihatan awam termasuk COVID-19 dalam mengekang penularan COVID-19. SUKA akan ditubuhkan di setiap 56 DUN bagi memastikan proses penyampaian kepada warga Selangor lebih berkesan. Sejumlah RM1,214,400.00 telah diperuntukkan bagi tujuan ini.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk perkara tersebut?
Dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan peruntukan bagi sektor kesihatan, terutama berkaitan pengurusan COVID-19 adalah mencukupi selaras dengan prinsip bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang baik akan membantu memacu kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan keberkesanan perbelanjaan tersebut?
Bagi memastikan program yang dilaksanakan mencapai hasrat dan tujuannya, sesi libat urus bersama pihak penyedia perkhidmatan dan pihak pelaksana akan diadakan secara berterusan. Ini secara tidak langsung memastikan sebarang permasalahan atau kekurangan yang timbul daripada program tersebut dapat diatasi untuk manfaat yang akan datang.