Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

321) PERBANKAN ISLAM

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan hari ini menggunakan sepenuhnya sistem perbankan Islam dalam pentadbiran?

    Untuk makluman YB Batu Tiga, dalam konteks pengurusan kewangan Kerajaan Negeri, sistem perbankan yang digunapakai meliputi perbankan islam dan konvensional bagi menguruskan semua operasi terimaan dan bayaran Kerajaan Negeri yang pelbagai. Bagi tujuan perbankan Islam, Kerajaan Negeri mempunyai akaun semasa Islamic dengan pelbagai bank tempatan antaranya seperti CIMB Bank, Bank Islam, Maybank, Public Islamic Bank, Hong Leong Islamic Bank, Bank Rakyat, Alliance Islamic Bank, RHB Bank, Affin Islamic Bank, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional dan Ambank Islamic Berhad.

    Inisiatif ke arah pematuhan syariah dalam urusan kewangan Kerajaan Negeri telahpun diperluaskan secara berperingkat dalam pengurusan terimaan termasuk hasil negeri, pengurusan pelaburan dalam instrumen simpanan tetap, pelaburan dalam pasaran ekuiti, sukuk dan saham Amanah.

    Pada September tahun 2023, Perbendaharaan Negeri Selangor telah melantik tiga orang panel pakar syariah dalam muamalat untuk membantu Perbendaharaan Negeri Selangor mewujudkan kaedah pemberian pinjaman patuh syariah kepada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

    Yang terbaru, sebuah Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Syariah Kerajaan Negeri Selangor telah dibentuk pada Mac 2024 yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri Selangor manakala Mufti Negeri Selangor adalah penasihat yang dilantik bagi jawatankuasa tersebut. Perbendaharaan Negeri dari masa ke semasa akan sentiasa membuat penelitian dan penambahbaikan ke arah tadbir urus pengurusan kewangan yang mematuhi syariah.

  2. Apakah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan usahawan dan SME menggunakan perbankan Islam?

    Pada masa ini, pihak Kerajaan Negeri tiada inisiatif khusus bagi menggalakkan SME menggunakan perbankan Islam.

  3. Apakah peranan dan kerjasama institusi bank Islamik dalam menjadikan Selangor sebagai hub kewangan Islam?

    Dalam usaha mempromosikan peluang – peluang pelaburan, pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa menjalinkan hubungan dengan pihak – pihak yang terlibat dalam dalam eko-sistem perniagaan seperti para pelabur, institusi kewangan, pembekal perkhidmatan dan lain – lain industri sokongan yang diperlukan.

    Bagi memperkenalkan dan menjadikan Selangor sebagai hub kewangan Islam, pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa berhubung rapat dengan institusi – institusi kewangan Islam dalam dan luar negara dalam usaha menyediakan kemudahan dana pelaburan kepada pelabur yang berpotensi dan juga membantu pihak institusi kewangan mengenal pasti projek – projek pelaburan yang berpotensi di Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan pelan konsep pembangunan Hab Islamik di Selangor Aero Park (SAP) daerah Sepang. MBI akan meneroka cadangan pembangunan ini dengan kerjasama sebuah syarikat swasta. Melalui cadangan pembangunan ianya dapat mengalakkan hubungan pelbagai hala dan kerjasama strategik antara negara-negara Islam dan Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi Islam global.

    Pembangunan Hab ini juga senada dengan pelan Kerajaan Persekutuan dibawah Rancangan Malaysia Ke-dua Belas (RMKe-12) dan juga dipacu oleh inisiatif MADANI dalam langkah untuk mereformasi Islamic Finance supaya Malaysia terus kekal sebagai negara yang menerajui pusat kewangan Islam secara global. Antara komponen yang dicadangkan untuk berada dalam hab tersebut adalah “gateway for hajj and umrah pilgrims”, halal trading hub”, “halal tourism” dan “Islamic digital bank.

    Pembangunan Hab ini akan melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi bank Islamik supaya dapat mewujudkan ekosistem yang menyeluruh dan patuh syariah. Kerajaan Negeri percaya inisiatif ini akan menjadi permulaan kepada ekosistem Islam dan Halal yang Makmur.

Lampiran

Tiada Lampiran.