Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

216) PERBANDARAN SELESA DAN BERTARAF ANTARABANGSA

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah ciri-ciri utama bagi sesuatu perbandaran yang layak dikategorikan sebagai perbandaran selesa dan bertaraf antarabangsa?

    Ciri-ciri utama atau teras sesuatu perbandaran adalah berdasarkan kepada Dasar Perbandaran Negara iaitu pembangunan perbandaran yang efisien dan mampan, pembangunan ekonomi bandar yang kukuh, dinamik dan berdaya saing, sistem pengangkutan bandar yang bersepadu, penyediaan perkhidmatan bandar, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti, pewujudan persekitaran kehidupan yang sejahtera dan beridentiti serta tadbir urus bandar yang efektif. Dengan berlandaskan enam teras di atas usaha ke arah pencapaian matlamat perbandaran selesa dan bertaraf antarabangsa akan tercapai.

  2. Sila nyatakan setakat ini perbandaran manakah yang sudah memenuhi ciri-ciri tersebut?

    Setakat ini, masih belum ada perbandaran di Selangor yang diiktiraf sebagai perbandaran selesa dan bertaraf antarabangsa. Walau bagaimanapun, Perbandaran di Selangor sedang dalam proses perubahan dan penambahbaikan ke arah perbandaran selesa dan bertaraf antarabangsa. Perbandaran terbaik di Malaysia ialah Bandar raya Kuala Lumpur iaitu berada di tangga 75 seperti mana yang dilaporkan melalui Kajian ‘ Mercer Human Resource Consulting Quality of Living Survey’ 2009.

     

  3. Sila nyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang bakal dilaksanakan oleh PBT untuk memastikan perbandaran di Negeri Selangor dapat mencapai tahap tersebut dalam jangka masa yang terdekat?

    Untuk memastikan perbandaran di Negeri Selangor dapat mencapai tahap tersebut dalam jangka masa yang terdekat PBT telah mengambil inisiatif dengan mengadakan hubungan kerjasama bagi melaksanakan langkah-langkah proaktif yang menjadi tanggungjawab bersama antara pelbagai kementerian, jabatan dan agensi terbabit. Agensi yang dikenal pasti perlu menterjemahkan teras atau dasar tersebut ke dalam program dan projek masing-masing seperti Program Local Agenda 21, Program Pembangunan Mampan dan lain-lain yang akan memberi implikasi kewangan untuk dijadikan sebagai asas bagi mendapatkan bajet tahunan dan Rancangan Malaysia Lima Tahun. Pemantauan pelaksanaan dasar dan peruntukan yang mencukupi perlu diadakan untuk memastikan Dasar Perbandaran Negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Lampiran

Tiada Lampiran.