Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
182) PERBADANAN KEMAJUAN PERTANIAN SELANGOR (PKPS)
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah halatuju perancangan dan inovasi baru PKPS?
Mulai tahun 2008 PKPS telah mengubah menjadikan PKPS sebuah organisasi komersial yang boleh menjana keuntungan untuk disumbangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Halatuju tersebut adalah seperti berikut:
- Menumpukan kepada projek-projek komersil yang berdaya maju sahaja dengan pasaran yang terjamin.
- Memfokuskan hasil pengeluaran kepada pasaran domestik kerana lebih terjamin dan berisiko rendah.
- Mengutamakan projek-projek yang memberi impak positif kepada pendapatan PKPS secara langsung dan kepada rakyat Selangor secara tidak langsung.
Projek-projek dalam perancangan PKPS adalah seperti berikut: i. Kawasan perladangan kelapa sawit diperluaskan
Kini pendapatan kelapa sawit menyumbang melebihi 55% dari jumlah pendapatan PKPS. Oleh yang demikian kawasan kelapa sawit perlu diperluaskan untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi. Pendapatan yang diperolehi daripada perladangan kelapa sawit boleh digunakan sebagai pelaburan untuk lain-lain projek PKPS tanpa pinjaman daripada pihak luar.
- Kilang kelapa sawit
Sebuah kilang kelapa sawit akan dibangunkan di Mukim Sungai Panjang, Daerah Sabak Bernam. Kapasiti pemprosesan kilang kelapa sawit adalah sebanyak 30 – 45 metrik tan sejam. PKPS akan memproses buah tandan segar (BTS) milik PKPS sendiri. Dengan ini PKPS menjimatkan kos perkilangan dan kos transport luaran (external transport). Seterusnya pekebun-pekebun tanaman kelapa sawit di sekitar Daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor juga boleh menjual BTS mereka ke kilang PKPS dengan mendapat harga yang lebih berpatutan.
- Ternakan Ayam Daging
PKPS telah meningkatkan pelaburan dalam projek ternakan ayam daging dengan menambah bilangan rumah-rumah ternakan ayam. Ketika ini PKPS sedang menternak sebanyak 200,000 ayam daging bagi satu pusingan (35 hari) di Daerah Sabak Bernam. Pada masa yang sama, PKPS sedang membina 4 buah rumah ayam dengan jumlah kapasiti 100,000 ekor bagi satu pusingan di Mukim Ulu Tinggi, Daerah Kuala Selangor (Fasa 1). PKPS juga akan membina 4 lagi rumah ayam (Fasa 2) di kawasan tersebut pada pertengahan tahun 2014 sebagai tambahan kepada yang sedia ada. Pembangunan Fasa 1 dijangka siap bulan September 2014 dan Fasa 2 pada April 2015.
- Rumah Sembelih Ayam
PKPS bercadang mendirikan sebuah kilang sembelih ayam di Rawang yang dapat menjamin produk halal dan kini telah mendapat kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Selayang pada 4 Disember 2013. Kerja-kerja tanah sedang berjalan dan pembinaan rumah sembelih ayam ini dijangka mula pada bulan Julai 2014 dan siap pada awal tahun 2016.
Kapasiti sembelihan ayam ialah 50,000 ekor sehari. Permintaan daging ayam di Lembah Klang ialah sekitar 400,000 ekor sehari dan kini penjualan daging ayam di Pasar Borong Selangor kepunyaan PKPS adalah melebihi 10,000 ekor/hari.
- Program Usahawan Tani ’Selangor Fruits Valley’ (SFV)
Dengan tujuan membangunkan petani-petani dalam bidang pengeluaran buah-buahan, PKPS telah memperuntukan seluas 270 hektar di Selangor Fruits Valley. Pemilihan 10 peserta adalah melalui tender terbuka dan mereka akan mula operasi pada bulan April 2014.
-
Apakah manfaat projek dan produk PKPS kepada petani Selangor?
Projek-projek PKPS menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.Dengan adanya peluang-peluang pekerjaan, petani dan rakyat Selangor dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Sebagai contoh, pembangunan kilang kelapa sawit dan rumah sembelih ayam memerlukan pekerja seramai tidak kurang daripada 400 orang.
- Memberi peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan di Negeri Selangor. Terdapat banyak kontrak-kontrak pembinaan, penyelenggaraan dan pembekalan yang ditawarkan kepada usahawan-usahawan. Tawaran dibuat secara tender terbuka atau sebutharga terbuka.
- Petani-petani dapat memperluas dan memperkembangkan projek mereka yang sedia ada dengan pertambahan kawasan di ’Selangor Fruits Valley’.
- Membolehkan pekebun-pekebun kecil sawit tempatan mendapat harga jualan kelapa sawit mereka pada harga dan peratus perahan yang lebih baik.
- Petani-petani/penternak-penternak boleh menjadi pembekal ayam kepada rumah sembelih ayam PKPS.
Rakyat Selangor pula boleh memperolehi bekalan daging ayam yang dijamin halal.