Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

306) PERANCANGAN PENYEDIAAN PERUMAHAN DI PULAU INDAH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berdasarkan pelaksanaan projek pembesaran Westport 2 yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada lebih 6,000 orang, apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan penyediaan perumahan yang mencukupi dan mampu milik di Pulau Indah untuk menampung pertambahan penduduk yang bakal berlaku?

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek pembesaran Westport 2 masih lagi di peringkat perancangan dan masih belum di muktamadkan. Namun begitu, komponen perumahan akan diberikan keutamaan lebih- lebih lagi dengan pembukaan kilang-kilang mega yang dapat menjana banyak peluang- peluang pekerjaan dan ini secara tidak langsung akan menarik serta menjana penduduk yang ramai. Ini sudah tentunya meningkatkan permintaan perumahan di kawasan ini.

    Dalam memastikan permintaan perumahan yang mencukupi di kawasan pembangunan ini kelak, pemaju akan dikenakan penyediaan Rumah Selangorku sebagaimana yang telah di tetapkan di dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 3.0). Penyediaan Rumah Selangorku ini dapat memberi peluang kepada pekerja/ penduduk golongan berpendapatan rendah sehinggalah sederhana untuk memiliki rumah.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 22 Jun 2022 dan telah disahkan oleh MMKN Ke 16/2022 pada 6 Julai 2022 telah meluluskan penyediaan komponen Rumah Selangorku di Taman Perindustrian Pulai Indah (Pembangunan Bercampur ‘Selangor Bio Bay’) sebanyak 1,859 unit yang terdiri daripada 464 unit Jenis A, 465 unit Jenis B, 465 unit Jenis C dan 465 Jenis D yang di jual pada harga RM42,000 sehingga RM200,000 seunit.

    Dengan adanya penyediaan 1,859 unit Rumah Selangorku ini sedikit sebanyak dapat menampung limpahan penduduk di pembangunan Westport 2 kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.