Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

373) PERANCANGAN PEMBANGUNAN “POCKET DEVELOPMENT”

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pembangunan infrastuktur selaras dengan pembangunan perumahan khususnya berkenaan dengan polisi pembangunan 'Pocket Development' yang dilihat menjadi penyebab utama kepada masalah banjir dan infrastruktur?

    Perancangan pembangunan infrastruktur dan utiliti dan pembangunan perumahan di Negeri Selangor sentiasa dipastikan bergerak seiring. Terdapat beberapa mekanisme digunakan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang semakin rancak di Negeri ini tidak mengabaikan pembangunan kemudahan infrastruktur dan utiliti.

    Mekanisme yang pertama adalah melalui dasar-dasar di dalam Rancangan Struktur Negeri dan juga Rancangan Tempatan. Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSNS) 2035 yang telah diwartakan pada 2 Februari 2017 telah menggariskan Dasar Wilayah Bandar Makmur, terdapat inisiatif pelaksanaan ‘Memastikan Pembangunan Perumahan Disediakan Lengkap Dengan Rangkaian Jalan Raya Serta Infrastruktur dan Utiliti Yang Sempurna’.

    Rancangan Tempatan yang disediakan di peringkat daerah kemudiaannya akan menterjemah dasar di dalam RSNS 2035 ini dengan lebih terperinci dalam bentuk strategi, projek dan kawalan perancangan melalui blok perancangan yang lebih kecil. Justeru, pembangunan perumahan dan perancangan infrastruktur dan utiliti telah diselaraskan di peringkat negeri dan daerah melalui dasar pembangunan perumahan dan utiliti yang jelas.

    Mekanisme kedua adalah melalui pengawalan perancangan semasa sesuatu permohonan dikemukakan ke PBT. Bagi membantu PBT mempertimbangkan sesuatu cadangan pemajuan yang dikemukakan kepada mereka, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) telah menerbitkan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Keempat (MGPPPNS Edisi 4) pada tahun 2022. Bagi mengawal air larian (water runoff) pembangunan baru, garis panduan ini menetapkan-

    i. keperluan mematuhi densiti yang ditetapkan di dalam rancangan tempatan;
    ii. plinth bangunan perlu tidak lebih 60% untuk memastikan ketelapan larian air permukaan hujan;
    iii. saiz kelebaran jalan perlu mengikut kelebaran yang ditetapkan oleh PBT/agensi teknikal;
    iv. keperluan penyediaan tempat letak kereta yang mencukupi; dan
    v. kawalan yang ketat bagi pembangunan di kawasan rizab sungai.

    PBT semasa mempertimbangkan sesuatu permohonan termasuk ‘pocket development’ akan melihat kepada keseluruhan cadangan pemajuan tersebut dan mengambil kira faktor-faktor seperti topografi, kesediaan infrastruktur dan potensi risiko banjir. Justeru, pembangunan perlu diberi perhatian yang sewajarnya sebagai mana yang ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan agar dapat mengurangkan risiko banjir. Syarat penyediaan sistem perparitan yang sempurna termasuk penyediakan kolam takungan turut disyaratkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.