Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
221) PERANCANGAN MEMPERKENALKAN PROGRAM LATIHAN DAN KEUSAHAWANAN BAGI MENINGKATKAN TAHAP EKONOMI PENDUDUK DI SUNGAI BURONG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan perancangan-perancangan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan program latihan kemahiran dan keusahawanan bagi meningkatkan tahap ekonomi penduduk di Sungai Burong.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai inisiatif keusahawanan bagi rakyat Negeri Selangor. Antara inisiatif terkini yang disediakan adalah seperti berikut:
- Program Selangor 1000 Digital
Penganjuran program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan usahawan di Negeri Selangor. Sehingga kini, sebanyak lima (5) daerah telah terlibat di dalam Program ini iaitu Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dengan penyertaan 1,620 orang dari seluruh negeri Selangor. Melalui kempen ini, warga belia mendapat manfaat melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian digital bagi meningkatkan potensi dan pendapatan usahawan melalui platform digital. Belia juga boleh dilatih untuk menjadi hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.
- Program U-PLATS
Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi.
iii. Program Selangor Export Day
Program ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memberi pendedahan kepada usahawan Selangor dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat pasaraya besar tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, program keusahawanan sedia ada yang dikekalkan adalah seperti berikut:
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang diselia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bertujuan untuk memberi khidmat nasihat perniagaan dan bimbingan secara menyeluruh dan “one to one” kepada usahawan oleh barisan pakar yang dilantik dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan.
- Program Liga Usahawan Selangor
Program yang dijalankan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) ini dilaksanakan merangkumi proses latihan dan penilaian. Liga ini memberi peluang untuk mengenal pasti usahawan-usahawan berpotensi di Selangor agar dapat digilap sebagai usahawan contoh negeri Selangor. Di samping itu juga, program ini dapat membuka peluang bagi usahawan mendapatkan dana dari pelbagai pihak seperti Geran Kerajaan, “Angel investor”, pakej promosi dan bantuan-bantuan lain.
iii. Program Peningkatan Pembungkusan Produk
Program yang dijalankan bersama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan produk dan bersedia menembusi pasar raya rantaian dan pasaran eksport. Usahawan yang terpilih diberikan pendedahan secara terpirinci berhubung keperluan teknikal, strategi penjenamaan, peraturan pembungkusan dan proses pelabelan barcode.
Daripada aspek Latihan Kemahiran, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai satu inisiatif berkaitan kemahiran iaitu Program IKTISASS yang memfokuskan kepada bantuan yuran pengajian dan asrama kepada mereka yang belajar di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) atau di mana-mana pusat pengajian kemahiran termasuklah program kepada anak yatim dan tahfiz. Program IKTISASS ini merangkumi program jangka panjang dengan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 hingga 4 dengan kerjasama industri antaranya Honda, Daikin, Carsome dan sebagainya. Di STDC Kampus Kuala Selangor juga, selain daripada kursus kemahiran, pelajar juga diajar asas keusahawanan agar kemahiran tersebut dapat diguna pakai setelah mereka tamat belajar.
Selain daripada itu, IKTISASS juga menawarkan program Pensijilan Jangka Pendek Profesional di STDC Kampus Shah Alam dengan kerjasama industri tempatan dan antarabangsa antaranya Siemens, Festo, KNX Mendix, Apple dan lain-lain. Selain itu, kerjasama bersama institusi pengajian juga diperkenalkan termasuklah bersama Technical University of Munich (TUM) dan di bawah Rangkaian Universiti-universiti di Malaysia (MTUN) seperti Univeisiti Sains Malaysia Pulau Pinang.