Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

69) PERANCANGAN MASA DEPAN UNTUK MENINGKATKAN PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bolehkah Kerajaan Negeri menggariskan perancangan masa depan untuk meningkatkan peluang pekerjaan?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Burong, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan melalui pelbagai inisiatif dan program di bawah Rancangan Selangor Pertama 2021 – 2025 (RS-1). RS-1 telah dirangka untuk memenuhi keperluan jangka pendek negeri dan membina daya tahan yang kukuh di masa hadapan. Justeru, RS-1 telah dan dijangka akan terus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan peluang pelaburan yang menarik melalui pendekatan mesra perniagaan.

    Salah satu daripada tema strategik RS-1 yang telah digariskan adalah Pengukuhan Ekonomi dan objektif utamanya adalah untuk menyelaraskan pembangunan pertumbuhan ekonomi Selangor dan strategi pelaburan untuk menarik minat syarikat bertaraf antarabangsa termasuk syarikat-syarikat unicorn yang berpotensi tinggi. Ia juga bertujuan untuk memacu projek pemangkin dalam sektor tumpuan utama dan kawasan geografi terpilih yang bakal memberi manfaat dan kelebihan daya saing negeri. Ini secara tidak langsung telah dan akan terus membantu mewujudkan peluang pekerjaan tambahan di masa hadapan.

    Dalam usaha memperkukuhkan status Selangor sebagai pusat pembangunan ekonomi dan destinasi utama untuk pelaburan strategik di Malaysia dan di rantau Asia, RS-1 telah mengambil dua pendekatan pembangunan ekonomi, iaitu pendekatan pembangunan ekonomi berasaskan sektor tumpuan, dan juga pendekatan pembangunan berasaskan geografi. RS-1 telah mengenal pasti sembilan (9) sektor tumpuan berdasarkan sumbangan KDNK semasa, potensi pertumbuhan pasaran dan permintaan masa hadapan yang akan terus memacu ekonomi Selangor. Sembilan (9) sektor tumpuan ini termasuk Pelabuhan dan Logistik; Pelancongan; Ekonomi Digital; Aeroangkasa; Automotif; Elektrik & Elektronik dan Jentera dan Kejuruteraan; Industri Halal; Sains Hayat dan Agroteknologi.

    Kesemua sektor ini berpotensi melonjakkan kedudukan ekonomi Selangor untuk menguasai ekonomi serantau di samping menjana peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi di seluruh negeri. Antara projek pemacu perubahan (‘game changer’) yang telah dikenal pasti berupaya meningkatkan peluang pekerjaan di masa hadapan termasuklah pembangunan projek Carey Selangor, projek Selangor International Aero Park (SAP), projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam dan projek Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP).

    Selain daripada pelaksanaan usaha ke arah memastikan pengukuhan ekonomi di negeri untuk meningkatkan peluang pekerjaan, antara inisiatif lain yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah pelaksanaan program berkonsepkan pameran kerjaya dan temu duga terbuka iaitu Karnival Jelajah Jobcare Selangor. Program tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia yang telah dianjurkan sejak tahun 2021 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha menyediakan akses kepada lebih banyak peluang pekerjaan di satu-satu lokasi karnival. Pada peringkat awal pelaksanaannya, program ini bermatlamat membantu rakyat negeri ini yang kehilangan pekerjaan dan menangani isu pengangguran yang tinggi akibat pandemik Covid-19.

    Program ini dilaksanakan secara berperingkat di sembilan (9) daerah negeri Selangor setiap tahun dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja untuk menerokai potensi diri dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan yang dipilih dalam kawasan komuniti berkenaan. Pelaksanaan program ini melibatkan penyertaan 25 hingga 30 majikan di setiap daerah yang menawarkan 35,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor dan industri dengan tangga gaji minimum RM1,700 sehingga RM12,000.

    Bagi tahun 2024, pelaksanaan program Karnival Jelajah Jobcare Selangor di tujuh (7) daerah sehingga Oktober 2024 telah mencatatkan kehadiran seramai 1,859 orang peserta dengan 800 orang peserta berjaya mendapat pekerjaan melalui temu duga terbuka di lokasi program. Manakala, peserta yang ditawarkan temu duga kali kedua adalah seramai 1,526 orang dengan 171 orang telah ditawarkan pekerjaan. Tangga gaji bagi peserta-peserta yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini adalah dalam lingkungan RM1,700 sehingga RM6,000.

    Kerajaan Negeri juga akan terus merangka pelbagai program dan inisiatif ke arah memperkukuh ekonomi Selangor bagi meningkatkan peluang pekerjaan di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) kelak.