Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

325) PERANCANGAN LUAR BANDAR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan luar bandar di Bukit Kemuning khasnya infrastruktur jalan utama dan jalan kampung di Bukit Kemuning?

    JKR

    Skop projek Menaiktaraf Jalan Bukit Rimau melibatkan menaik taraf persimpangan Jalan Bukit Kemuning – Jalan Bukit Rimau.

     

    Pihak JKR mempunyai perancangan untuk menaik taraf Jalan Persekutuan FT190. Walau bagaimanapun, projek tersebut masih belum disenarai di dalam senarai keutamaan bagi seluruh negeri Selangor.

    PDT KLANG

    Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang merupakan agensi pelaksana kepada kerja-kerja projek kecil melibatkan baikpulih dan menurap jalan-jalan kampung, dan pelaksanaan kerja-kerja tersebut adalah berdasarkan kepada aduan daripada penduduk kampung sama ada secara terus kepada Pejabat Daerah mahupun melalui Penghulu atau Ketua Kampung. Lawatan tapak dan siasatan akan dijalankan bagi setiap aduan sebelum jalan-jalan kampung berkenaan di daftarkan di dalam sistem MARRIS bagi mendapatkan kelulusan peruntukan. Kerja-kerja baikpulih dan menurap jalan kampung akan menggunakan peruntukan sedia ada iaitu MARRIS dan Tabung Amanah Infrastruktur Sosial, manakala projek menaiktaraf jalan di bawah projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

  2. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengawal selia dan memastikan infrastruktur Jalan kampung di Bukit Kemuning?

    PDT Klang akan sentiasa memastikan infrastruktur jalan-jalan kampung berada di dalam keadaan yang selamat dan memuaskan dengan pemantauan serta lawatan turun padang bersama Penghulu atau Ketua Kampung. Walau bagaimanapun, untuk makluman Yang Berhormat DUN Kota Kemuning, kebanyakan jalan-jalan kampung di Bukit Kemuning adalah berstatus tanah persendirian dan hakmilik yang dikategorikan sebagai jalan persendirian. Pejabat Daerah akan menyenggara jalan-jalan kampung yang didaftarkan di dalam sistem MARRIS sebagai rizab jalan atau jalan awam berdasarkan kelulusan dan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.