Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

36) PERANCANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Negeri Selangor khususnya Zon Selatan Negeri Selangor dalam jangka masa 5 tahun akan datang?

    Salah satu dari 20 Pemacu Perubahan yang dirangka dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 hingga 2025 di bawah teras ekonomi ialah Wilayah Pembangunan Bersepadu Di Selangor Selatan (IDRISS) yang merupakan projek pembangunan berasaskan geografi.

     

    Inisiatif IDRISS ini dijana menerusi pembangunan pelaburan swasta secara bersepadu serta dilengkapi dengan kemudahan insentif daripada pihak Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Inisiatif ini meliputi kawasan di zon selatan Negeri Selangor iaitu daerah Sepang dan Kuala Langat yang merangkumi tanah seluas 40,000 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) boleh mencecah sehingga RM1 trilion.

     

    Projek pembangunan yang dicadangkan di bawah IDRISS merangkumi sektor perindustrian, perkhidmatan logistik, pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan. Antara projek di bawah IDRISS adalah Selangor Business Capital, Selangor International Aeropark, Sepang Gold Coast Global Village, Unisel Global Campus, NCT Smart Industrial Park, Pelabuhan Pulau Carey, dan Zon Ekonomi Khas Pulau Carey.

     

    Diantara insentif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi IDRISS adalah skim premium khas, bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah, pengecualian cukai taksiran tanah kosong, potongan 50% cukai taksiran bangunan kosong, dan pengecualian bayaran lesen perniagaan.

     

    Inisiatif ini diharap dapat menjadi pemangkin utama kepada usaha mempromosikan Selangor sebagai hub pelaburan dan perdagangan di rantau ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.