Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
59) PERANCANGAN DAN PEMBANGUNAN SOSIO EKONOMI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi dan membantu pengusaha PKS dan warga yang tiada kerja?
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membantu warga Selangor yang tiada pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan. Di bawah inisiatif Pembangunan Usahawan Negeri Selangor terdapat beberapa program yang disediakan untuk membantu dan menyokong individu yang hilang perkejaan dan tiada sumber pendapatan. Program-program adalah seperti berikut:
1.0 Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.
2.0 Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
Matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 sebulan. Pemberian berbentuk bantuan peralatan / mesin perniagaan berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Syarat permohonan telah dilonggarkan kepada tiga (3) bulan pengoperasian pada musim pandemik COVID19 bagi membantu rakyat menjalankan perniagaan.
3.0 Program Yayasan Hijrah Selangor
Terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini bagi membantu individu dan usahawanuntuk memulakan perniagaan. Antara program-program yangditawarkan dalah seperti berikut:
3.1 Skim Zero to Hero
Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan atas talian.
3.2 NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 – RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.
3.3 GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman di tawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan – tiga (3) tahun.
Manakala melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja yang berperanan membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengatasi masalah pekerja yang kehilangan pekerjaan khususnya semasa wabak pandemik Covid -19 telah ditubuhkan satu unit yang dikenali sebagai Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) yang bertindak sebagai satu unit khas bertujuan untuk merancang, menyelaras, melaksana serta memantau program-program di bawah Jawatankuasa yang dikhususkan untuk membantu pekerja yang telah kehilangan pekerjaan di negeri Selangor semasa wabak pandemik Covid-19.
Selaras dengan objektif penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, Kerajaan Negeri telah banyak membantu rakyat di negeri ini untuk mendapatkan kembali pekerjaan melalui penganjuran program – program dengan kerjasama beberapa Jabatan, agensi dan Badan – badan Bukan Kerajaan. Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS seperti berikut:
- Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
- Sektor Pembangunan
Kedua-dua sektor ini adalah dikhususkan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program tahunan di bawah UPPS. Memandangkan portfolio ini masih baharu ditubuhkan dan pelantikan kakitangan UPPS secara rasmi adalah pada 1 Oktober 2021, Jawatankuasa Tetap masih merangka dan memperhalusi beberapa cadangan program yang akan dijadikan sebagai program tahunan. Walau bagaimanapun, dalam tempoh satu tahun beroperasi, UPPS telah berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan/ institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:
- Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40.
- Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dalam kalangan B40.
- Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
- Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta.
- Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
- Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta.
- Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta.
Sehingga kini, satu pencapaian yang boleh dikira membanggakan apabila UPPS telah berjaya menempatkan seramai 350 pekerja di syarikat-syarikat tempatan seperti WestPort, Citylink dan sebagainya.
Sehubungan itu, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, pihak Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) telah berjaya mewujudkan satu laman sesawang rasmi sebagai memudahcara pencarian pekerjaan kepada para penganggur dengan lebih efektif. Laman sesawang ini secara rasminya baharu dilancarkan pada bulan Oktober 2022 dengan dipantau oleh UPPS dan boleh dilayari melalui alamat https://upps.org.my/. Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja berharap dengan pendekatan sebegini, Kerajaan Negeri dapat membantu pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dalam usaha mengurangkan statistik pengangguran di negeri Selangor.
Selain itu, UPPS juga akan menjadikan pelaksanaan Karnival Kerjaya sebagai satu acara tahunan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja sekaligus menjadi suatu platform yang rasional untuk membantu warga pencari kerja.
Dalam pada itu, UPPS di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja masih berusaha untuk merancang dan memperbanyakkan lagi program – program khusus untuk membantu rakyat di negeri Selangor untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka. Dengan peruntukan RM1 juta setahun yang telah diperuntukkan, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja percaya, ramai warga Selangor yang dapat dibantu bagi mengatasi masalah pekerja yang kehilangan pekerja serta sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar pengangguran di negeri Selangor.