Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
62) PERANCANGAN BARU BAGI LOOK OUT POINT, BUKIT AMPANG
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah ada perancangan terkini kerajaan ke atas kawasan pelancongan Menara Tinjau (Look Out Point) Bukit Ampang yang sekian lama terbiar?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah merancang untuk membangunkan semula Ampang Look Out Point (ALOP) sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor disebabkan oleh lokasinya yang strategik dan sumber semula jadi yang menarik dan unik dengan kepelbagaian biodiversiti yang tinggi.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah menyediakan satu Pelan Tindakan Pembangunan Ampang Look Out Point (ALOP) sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor yang memerlukan satu model pengurusan dan pembangunan yang lebih sistematik dan berdaya maju. Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor ini akan dijadikan sebagai salah satu destinasi utama ekopelancongan bertaraf dunia yang boleh menjana hasil secara berterusan disamping berperanan sebagai pusat penyaluran maklumat dalam bidang ekosistem semula jadi Hutan Hujan Tropika di Malaysia.
Berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Ke 18/2018 yang telah diadakan pada 27 Jun 2018 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 19/2018 bertarikh pada 04 Julai 2018 telah mempertimbangkan dan bersetuju beberapa cadangan seperti berikut:
- Bersetuju dengan cadangan untuk menentukan model pengurusan dan pembangunan ALOP sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Negeri Selangor ialah melalui kaedah kerjasama atau perkongsian pintar iaitu Public Private Partnership (PPP);
- Bersetuju dengan cadangan kaedah pemilihan PPP bagi menentukan mana-mana syarikat/agensi/individu yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan adalah melalui Request For Proposal (RFP) yang dipilih oleh Jawatankuasa Penilaian RFP;
- Bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa RFP bagi tujuan menentukan mana-mana syarikat/agensi/individu yang berjaya memenuhi kriteria penilaian dan saringan yang telah ditetapkan;
- Syarat-syarat perjanjian di antara Kerajaan Negeri Selangor dan mana-mana pihak yang berjaya ditawarkan untuk membangun dan menguruskan ALOP melalui kaedah PPP perlu merujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri Selangor terlebih dahulu terhadap klausa yang termaktub di dalam peraturan-peraturan atau undang-undang yang digunapakai di negeri Selangor yang masih berkuatkuasa bagi melindungi hak dan kepentingan Kerajaan Negeri Selangor;
- Bersetuju agar Jawatankuasa RFP melibatkan pandangan dan wakil daripada pihak Menteri Besar Incorporated (MBI) dan wakil anak-anak syarikat Negeri Selangor bagi membolehkan penilaian yang dibuat lebih menyeluruh dari segi model perniagaan yang sesuai;
- Bersetuju agar hasil Penilaian RFP perlu dibentangkan semula kepada MMKN yang akan datang.
Sehingga kini, Jawatankuasa Penilaian Request For Proposal (RFP) yang urusetiakan oleh JPNS tersebut telah ditubuhkan dan kini sedang menyediakan dokumen RFP tersebut untuk ditawarkan kepada mana-mana syarikat/agensi/individu yang berminat untuk membangunkan Ampang Look Out Point ini melalui kaedah kerjasama atau perkongsian pintar iaitu Public Private Partnership (PPP).
-
Jikalau ada, adakah Pejabat Perhutanan melibatkan NGO atau persatuan dalam perancangan ini
Sehingga kini pihak JPNS tidak melibatkan NGO’s atau Persatuan secara langsung di dalam perancangan pembangunan ALOP ini namun secara amnya ia hanya terlibat semasa pengumpulan data semasa kajian pelan tindakan pembangunan ALOP ini dilaksanakan, Sekiranya penglibatkan NGO atau persatuan ini diperlukan dan mempunyai peranan tertentu di dalam pembangunan ALOP ia akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Penilaian Request For Proposal (RFP).