Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

409) PERANAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat cadangan menaikkan harga bayaran kepada sub kontraktor di bawah KDEB disebabkan oleh faktor kenaikan harga barangan?

    Harga kontrak atau harga bayaran yang setimpal merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan operasi di lapangan. KDEB menyedari hakikat ini dan bersetuju bahawa terdapat korelasi di antara harga bayaran dan keberkesanan operasi.

    Cadangan untuk menaikkan harga bayaran disebabkan oleh faktor kenaikan harga barangan sememangnya di dalam perhatian KDEB. Walaubagaimanapun, cadangan kenaikan harga ini hanya dapat dilaksanakan tertakluk kepada harga bayaran yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada KDEB kerana sumber pendapatan utama KDEB adalah daripada kontrak yang diperolehi dari PBT. Sekiranya terdapat kenaikan harga diberikan oleh PBT kepada KDEB, sudah pasti KDEB akan turut mempertimbangkan untuk memberikan kenaikan harga kepada sub-kontraktor di bawah seliaannya.

    Realitinya, kantung kewangan PBT juga adalah terhad kerana mereka juga perlu menguruskan perbelanjaan dengan berhemah berikutan skop perkhidmatan yang luas yang turut terkesan dengan kenaikan harga barangan dan tidak hanya terhad kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sahaja. Justeru, cadangan kenaikan harga bayaran kepada sub-kontraktor hanya dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kenaikan harga dari PBT kepada KDEB kerana implikasi kewangannya adalah besar dan perlu dibuat dengan cermat dan teliti

  2. Apakah langkah yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan terhadap ‘kedai Aceh' yang semakin banyak beroperasi di DUN Bukit Melawati?

    Jabatan Pelesenan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor tidak pernah mengeluarkan lesen kedai runcit kepada bukan warga negara Malaysia. Sebagai langkah kawalan, MPKS menetapkan syarat supaya setiap pengusaha kedai runcitt hendaklah mengambil warga negara Malaysia sebagai pekerja tidak kurang 30% daripada jumlah pekerja yang ada.

    Bagi pekerja warga negara asing, pengusaha hendaklah mengambil dalam kalangan mereka yang memiliki VISA atau permit pekerjaan daripada Jabatan Imigresen Malaysia yang masih sah.

    Jika didapati pengusaha kedai runcit berlesen yang gagal mematuhi syarat-syarat berkaitan pengambilan pekerja asing ini lesen perniagannya akan ditarik serta-merta dengan disusuli oleh notis pembatalan lesen perniagaan.

    Mengambil tindakaan sitaan dan penutupan terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing yang didapati melanggar undang-undang PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.