Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
173) PERANAN LEMBAGA URUS AIR SELANGOR (LUAS)
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peranan dan bidang kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)?
LUAS berperanan sebagai sebuah agensi sehenti dengan pendekatan pengurusan bersepadu bersama agensi-agensi lain yang berkaitan untuk menguruskan sumber air Negeri Selangor yang merangkumi air permukaan (c: sungai, kolam), air bumi dan pesisiran pantai sejauh 3 batu nautika. Fungsi dan bidang kuasa LUAS adalah berdasarkan kepada Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(2) Enakmen LUAS 1999 seperti di LAMPIRAN 1.
-
Mohon statistik, penguatkuasaan dan pemeriksaan sungai, punca air, premis dan yang berkaitan sepanjang 2016 yang dilakukan oleh LUAS
Bagi tahun 2016, sebanyak 13 premis tegar telah diambil tindakan melalui aktiviti penguatkuasaan LUAS.
Sejumlah 314 siasatan dilakukan sepanjang tempoh Januari 2016 sehingga Ogos 2016, dan sebanyak 281 notis serta 13 kompaun telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan di bawah Enakmen LUAS 1999.
Sejumlah 93 kali pemantauan berkala dilakukan ke atas Zon Perlindungan yang telah dan akan diwartakan serta operasi bersepadu yang telah dijalankan dan disertai bermula pada Januari 2016 sehingga Ogos 2016.
Sebanyak dua (2) kertas siasatan yang sedang dalam penyediaan untuk membawa kes dibicarakan di mahkamah bagi kesalahan pencemaran sumber air.
Tahun 2016 Jumlah Siasatan / Pemeriksaan Jumlah Notis Jumlah Kompaun Rampasan dan Sitaan Pendakwaan Pemantauan Zon Perlindungan & Operasi Bersepadu Januari 35 35 tiada tiada tiada 16 Februari 40 36 2 2 tiada 13 Mac 39 35 1 tiada tiada 15 April 45 41 tiada 1 tiada 16 Mei 32 22 tiada tiada tiada 13 Jun 38 37 tiada tiada tiada 4 Julai 25 21 tiada tiada tiada 3 Ogos 60 54 10 tiada 1 13 JUMLAH 314 281 13 3 1 93 Satu kertas siasatan telah disediakan pada Oktober 2016
-
Berapa ramai kakitangan LUAS dan berapa ramai penguatkuasa yang ada?
Sehingga 25 Oktober 2016, LUAS mempunyai kekuatan anggota kakitangan seramai 104 orang yang terdiri daripada 72 orang pegawai/kakitangan lantikan bertaraf tetap dan 32 orang pegawai/kakitangan lantikan bertaraf kontrak. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 14 orang pegawai/kakitangan terdiri daripada anggota penguatkuasa yang diperincikan seperti berikut:
- Pegawai Penguatkuasa Gred N41 (1 orang),
- Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred KP29 (2 orang), dan
- Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 (11 orang).
Mesyuarat Lembaga Pengarah LUAS Bil 2/2016 pada 20 September 2016 seterusnya telah meluluskan pengambilan 45 orang pegawai/kakitangan lantikan bertaraf kontrak baharu yang mana merangkumi 13 orang pegawai/kakitangan anggota penguatkuasa tambahan seperti berikut;
- Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred KP29 (1 orang), dan
- Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 (12 orang).
Lantikan pegawai/kakitangan baharu ini akan dilakukan secara berperingkat bermula pada bulan Januari 2017 yang mana akan melibatkan 4 orang Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 untuk permulaan. Langkah berperingkat ini adalah untuk memastikan ketersediaan ruangan kerja bagi pegawai/kakitangan baharu yang akan dilantik.